KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai lapangan dan pemegang jawatan sensitif di agensi itu bagi mengurangkan risiko ancaman keakraban (affinity threat) dalam usaha memperkukuh integriti serta ketelusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata penggunaan kamera badan juga sedang dilaksanakan dan dijangka akan membabitkan semua peringkat secara berfasa mulai suku keempat tahun ini.
Beliau berkata, melalui Reformasi Tatakelola dan Tadbir Urus DBKL, budaya kerja daripada model keputusan berasaskan individu yang banyak tertumpu kepada kuasa Datuk Bandar sebelum ini, kini beralih kepada model yang berteraskan prinsip tadbir urus yang baik, kolektif dan integriti.
"Perubahan budaya ini dilaksanakan melalui mekanisme utama, iaitu pemerkasaan jawatankuasa yang kita bawa masuk Ahli Parlimen sekarang, pemisahan kuasa dan semak imbang.
"Sebagai contoh, sebelum ini, Jawatankuasa Audit dipengerusikan Datuk Bandar sendiri dan audit perbelanjaan sendiri. Sekarang, ini tidak lagi dipengerusikan Datuk Bandar.
"Kita juga ada tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) yang standard, pemantauan prestasi dan audit serta penggunaan teknologi digital," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai bagaimana Reformasi Tatakelola dan Tadbir Urus DBKL akan mengubah budaya membuat keputusan di DBKL supaya lebih telus, kolektif dan boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
Menjawab soalan asal Kok Wai mengenai senarai Reformasi Tatakelola dan Tadbir Urus DBKL hasil Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190), Hannah memaklumkan, sebanyak 16 inisiatif dilaksanakan dalam tempoh enam bulan ini.
Ia termasuk nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penemuan kelonggaran dari segi prosedur dan tatacara yang memberi ruang kepada salah laku dalam DBKL.
Selain itu, pemansuhan Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) Khas bagi memastikan pengasingan kuasa serta mengelakkan campur tangan politik dalam proses dan keputusan pembangunan serta penyediaan portal OSC 3.0 Plus yang membuka akses maklumat permohonan pembangunan kepada Ahli Parlimen, pihak berkepentingan serta orang awam.
"Selain itu, sebelum ini, tiada had ditetapkan untuk kelulusan sumbangan oleh Datuk Bandar, namun kini, kelulusan sumbangan itu dihadkan kepada maksimum RM3,000, manakala permohonan sumbangan lebih RM3,000 akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi untuk dibincangkan dan kelulusan," katanya.
























