KUALA LUMPUR: Hanya lima parti komponen Perikatan Nasional (PN) menyertai mesyuarat berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa melalui kenyataan ringkas sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagaimanapun tidak memperincikan sama ada lima parti komponen itu turut membabitkan BERSATU atau sebaliknya.
"Mesyuarat lima parti komponen hari ini akan memuktamadkan kerusi bertanding dan logo bakal digunakan (pada PRN Negeri Sembilan)," katanya.
PN ketika ini dianggotai PAS, BERSATU, GERAKAN, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
Sementara itu, sumber dalaman BERSATU ketika dihubungi, memaklumkan tiada pemimpin BERSATU yang hadir ke mesyuarat PRN Negeri Sembilan dianjurkan PN itu.
"Setakat ini, (mesyuarat PN) tiada dalam jadual Tan Sri (Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin). Tan Sri ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan kes dia dan tiada maklumat (mengenai pemimpin BERSATU hadir ke mesyuarat PN, hari ini).
"Namun, Annuar sudah mengesahkan hanya lima parti komponen yang hadir (mesyuarat berkenaan)," katanya.
























