PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 2,560 pelbagai jenis anak pokok yang disyaki diseludup dari Thailand.
Semua anak pokok berkenaan dianggarkan bernilai RM146,000 dan dirampas dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata rampasan pertama jam 6.30 petang semalam di jalan Kampung Tok Deh, Rantau Panjang, di sini, apabila PGA menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Lori itu dinaiki dua lelaki tempatan berusia 33 serta 37 tahun dan pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 1,300 anak pokok antaranya tumbuhan hiasan Bromeliad dan pokok jambu batu.
"Nilai rampasan dianggarkan RM85,600 dan kita percaya semua anak pokok itu diseludup dari Thailand serta disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
"Hasil soal siasat, semua anak pokok berkenaan akan dibawa ke Pahang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad Radzi berkata, lelaki 37 tahun yang juga pemandu lori itu mengaku diberi gaji harian antara RM150 hingga RM200.
1,000 anak durian duri hitam dirampas
Dalam rampasan kedua di jalan Kampung Banggol Mek Pit, Rantau Panjang jam 5.30 petang, sebanyak 1,000 anak pokok durian duri hitam dan 260 durian D99 dianggarkan bernilai RM60,400 dirampas.
"Soal siasat ke atas lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu lori, mendapati semua anak pokok berkenaan akan dihantar ke Pengkalan Hulu, Perak.
"Semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167)," katanya.
























