BH Online
Ringkasan Berita

Laporan lengkap insiden letupan bom tangan Kem Hobart dijangka diterima 23 Julai ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dijangka menerima laporan lengkap berhubung insiden letupan bom tangan di Kem Hobart, Gurun, yang menyebabkan kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 23 Julai ini.
Laporan lengkap insiden letupan bom tangan Kem Hobart dijangka diterima 23 Julai ini

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dijangka menerima laporan lengkap berhubung insiden letupan bom tangan di Kem Hobart, Gurun, yang menyebabkan kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 23 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian menerima laporan daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada 13 Julai lalu, namun hasil semakan Markas Tentera Darat mendapati masih terdapat keperluan untuk memanggil semula beberapa saksi.

Selain itu beliau berkata, terdapat juga kemungkinan untuk mendapatkan keterangan saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan.

"Siasatan penuh masih belum dimuktamadkan. Justeru, ketika ini adalah terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kejadian sebelum siasatan dimuktamadkan sepenuhnya," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai punca insiden letupan bom tangan ketika latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini dan langkah segera kementerian bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan diperkasa serta kejadian sama tidak berulang.

Pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan peningkatan tempur di Lapang Sasar Kem Hobart.

Letupan dalam kubu berlaku pada jam 10.57 pagi itu menyebabkan Allahyarhamah Lans Koperal Siti Khadijah Sungip dan pengasuh bertugas, Allahyarham Sarjan Nor Azmi Abu Bakar mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Mohamed Khaled menjelaskan, mengikut dasar dan prosedur TDM, Markas Tentera Darat diperuntukkan tempoh empat ke lapan minggu, bergantung kepada kes dan semak balas untuk menyiapkan laporan siasatan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan semua aspek teknikal, prosedur dan keterangan saksi diteliti secara menyeluruh sebelum sesuatu kesimpulan dibuat.

"Bagaimanapun, disebabkan kes ini mendapat perhatian serius, kementerian menyeru supaya disegerakan siasatan dan penyediaan laporan," katanya.

Mohamed Khaled berkata, sebagai langkah segera susulan insiden itu, TDM melaksanakan pemeriksaan khas secara menyeluruh ke atas semua baki grenad dalam pegangan 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (SKN RAJD) bagi memastikan tiada sebarang kerosakan.

Pada masa sama, beliau berkata, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman turut mengarahkan semua latihan membaling grenad dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.

Bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, Mohamed Khaled berkata, TDM akan memastikan pengukuhan aspek keselamatan latihan melalui beberapa langkah penambahbaikan berdasarkan syor daripada Lembaga Siasatan.

Antaranya, meningkatkan pemantauan latihan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan lapang sasar dan penggunaan kamera badan bagi pemantauan serta menambah baik ruang penglihatan dan cermin pemerhati di Menara Kawalan.

Selain itu, mencadangkan penggunaan Eco-Friendly Training Hand Grenade (EFTHG) bagi latihan kering yang menyerupai grenad sebenar untuk memberi pendedahan awal dan pengalaman kepada anggota sebelum menggunakan grenad hidup.

"Langkah lain adalah mewujudkan Casting Policy bagi peluru dan bahan letupan untuk menetapkan jangka hayat penggunaan serta memastikan peluru dan bahan letupan yang mencapai tempoh itu menjalani pemeriksaan khas secara terperinci dan berkala bagi mengesahkan kebolehgunaannya.

"Setiap pasukan juga akan dipastikan melaksanakan penilaian kesihatan fizikal dan kesediaan mental semua pegawai serta anggota sebelum menyertai latihan, khususnya mereka yang mempunyai rekod kesihatan yang memerlukan pemantauan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai polemik berkenaan kuasa negeri dan Persekutuan dalam pelaksanaan eksesais tentera di kawasan membabitkan taman negeri, Mohamed Khaled berkata, perkara itu digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, isu itu akan diselesaikan dengan lunak dan bijaksana, selain mengelak pelaksanaan eksesais yang boleh merosakkan hidupan marin dan batu karang.

Video Terkini

Berita Berkaitan