KOTA BHARU: Keputusan BERSATU untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang adalah hak mutlak parti itu dan PAS tidak akan campur tangan dalam urusan berkenaan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebagai rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN), PAS menghormati keputusan dibuat BERSATU itu.
"Itu hak mereka dan kita tidak akan campur tangan dalam urusan parti lain," katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Pengerusi PN itu turut mengulangi pendirian PAS pada PRN Johor lalu apabila parti itu mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi PAS.
"Saya tidak pasti sama ada BERSATU lebih suka melihat DAP atau Pakatan Harapan (PH) menang di Johor hanya kerana PN tidak bertanding di semua kerusi," katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, keputusan PAS itu dibuat berdasarkan pertimbangan politik parti dan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai melemahkan komitmen parti terhadap PN.
Malam tadi, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan parti itu akan menggunakan logo sendiri bagi calonnya pada PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung 1 Ogos depan.
























