KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi warga pendidik yang semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tugas mereka, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, akta yang dicadangkan itu bagi melindungi guru yang bertindak dengan niat yang baik, secara munasabah dan mengikut prosedur dalam mengawal disiplin serta menjaga keselamatan pelajar.
"Guru sering membuat keputusan serta-merta untuk mengawal disiplin, keselamatan atau kecemasan. Antara rasional utama penggubalan akta ini adalah untuk melindungi guru yang bertindak mengikut prosedur.
"Jika tindakan dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah semata-mata kerana tidak berpuas hati," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, akta berkenaan juga mampu mengurangkan budaya litigasi berikutan peningkatan kecenderungan membawa pertikaian sekolah ke mahkamah.
Ia juga, katanya, dapat mewujudkan mekanisme penyelesaian awal seperti siasatan atau mediasi sebelum tindakan mahkamah diambil.
Asyraf Wajdi berkata, Akta Perlindungan Guru juga boleh memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan kepada guru yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi.
"Ini kerana ramai guru berdepan tindakan undang-undang menggunakan kos sendiri," katanya menambah perlindungan undang-undang itu akan dapat meningkatkan keyakinan guru dalam menjalankan tugas.
Tambahnya, jika sentiasa bimbang akan disaman, guru mungkin menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin sewajarnya, sekali gus menjejaskan pengurusan sekolah dan pembentukan sahsiah murid.
"Perlindungan undang-undang yang munasabah menerusi akta berkenaan juga mampu menjadikan profesion perguruan lebih dihormati dan diyakini, sekali gus membantu menarik serta mengekalkan bakat dalam bidang pendidikan," katanya.
























