PETALING JAYA: BERSATU mengumumkan parti itu akan menggunakan logonya sendiri dalam pertandingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, di ibu pejabat parti berkenaan di sini, malam ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas BERSATU tidak dibabitkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, beliau menyatakan kekesalan berikutan PN bawah pimpinan Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menangguhkan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN hingga satu tempoh tidak pasti.
"Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN telah ditangguhkan bagi tempoh tidak pasti, dan BERSATU tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN.
"Justeru, BERSATU akan meletak calon-calon bertanding pada PRN Negeri Sembilan, dengan semua calon parti ini akan menggunakan simbol BERSATU," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan malam ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, terdapat beberapa parti politik menyatakan hasrat untuk bertanding menggunakan logo BERSATU pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Ketika diminta mendedahkan parti politik terbabit, beliau bagaimanapun enggan berbuat demikian.
"BERSATU juga mengambil maklum hasrat beberapa parti politik menggunakan simbol BERSATU pada PRN Negeri Sembilan.
"MPT telah meneliti perkara ini dan bersetuju menyerahkan mandat kepada Presiden BERSATU untuk memberi kebenaran calon daripada parti-parti lain menggunakan simbol BERSATU," katanya.
Mengenai senarai calon bakal dipertaruhkan BERSATU pada PRN itu pula, Muhyiddin berkata, perkara berkenaan akan dimuktamadkan pada mesyuarat dijadualkan berlangsung esok
Selepas itu, beliau berkata, senarai calon terbabit akan diumumkan pada Jumaat ini.
























