PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang dijadualkan berlangsung di ibu pejabat parti itu di sini, malam ini, menjadi tumpuan susulan pelbagai spekulasi mengenai hala tujunya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut notis dikeluarkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mesyuarat itu akan disusuli satu sidang media khas pada jam 10 malam ini, sekali gus mencetuskan jangkaan bahawa beberapa keputusan penting berkemungkinan diumumkan.
Difahamkan, antara perkara dijangka menjadi fokus perbincangan ialah spekulasi BERSATU sedang mempertimbangkan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan kali ini, berbanding lambang Perikatan Nasional (PN) yang diamalkan sebelum ini.
Selain itu, mesyuarat juga dijangka menyentuh dakwaan berlaku sabotaj sesama parti komponen PN sepanjang kempen PRN Johor ke-16 yang menyaksikan gabungan itu kecundang di kesemua 33 kerusi ditandingi, malah 21 calonnya turut kehilangan deposit.
Selain itu, mesyuarat BERSATU malam ini berkemungkinan akan membincangkan dakwaan berlaku perbincangan serta pertemuan secara membelakangi PN, membabitkan wakil PAS dengan pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dalam PRN.
Dalam pada itu, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dan PAS pula dijadual mengadakan pertemuan pada satu majlis makan malam di sebuah hotel sekitar Kuala Lumpur, malam ini.
Difahamkan, antara inti pati pertemuan itu membincangkan isu berkait agihan kerusi dan penggunaan logo PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan kali ini.
























