BH Online
Ringkasan Berita

Sarawak sasar eksport air selepas penuhi keperluan negeri

KUCHING: Sarawak menyasarkan air sebagai komoditi eksport yang baharu selepas keperluan bekalan air rakyat di negeri ini dipenuhi menerusi pembangunan grid air negeri.
Sarawak sasar eksport air selepas penuhi keperluan negeri

Abang Johari menyempurnakan Majlis Perasmian Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2026 di Kuching, hari ini. - NSTP/MOHD ROJI KAWI

KUCHING: Sarawak menyasarkan air sebagai komoditi eksport yang baharu selepas keperluan bekalan air rakyat di negeri ini dipenuhi menerusi pembangunan grid air negeri.

Premier, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata Sarawak dikurniakan sumber air yang melimpah melalui rangkaian sungai dan takungan air.

Katanya, ia sekali gus membuka ruang kepada pembangunan industri baharu berasaskan sumber itu.

Justeru sebagaimana kejayaan Sarawak mengeksport tenaga ke Semenanjung serta negara jiran termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura, beliau berkata, pendekatan sama boleh diteroka bagi sumber air.

"Selepas grid air negeri siap dan mampu meliputi seluruh Sarawak, langkah seterusnya ialah menggunakan teknologi untuk menyuling air sungai sebelum dijadikan komoditi eksport.

"Kita akan berkongsi air dengan negara yang memerlukan bekalan itu.

"Pada masa sama, sumber air ini juga akan dimanfaatkan bagi penghasilan hidrogen sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi hijau negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2026, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, teknologi rawatan air yang semakin maju membolehkan air daripada sungai utama di Sarawak, termasuk Sungai Sarawak, Sungai Sadong, Sungai Saribas dan Sungai Samarahan, diproses sehingga mencapai standard sesuai untuk dieksport.

Malah, katanya, kerajaan negeri turut mempertimbang untuk membangunkan loji rawatan air khusus di sungai tertentu bagi menghasilkan bekalan air yang boleh dipasarkan ke luar negara.

Beliau berkata, banyak negara berkongsi sumber air rentas sempadan seperti Sungai Mekong yang dimanfaatkan beberapa negara di Asia Tenggara, selain Sungai Nil yang menjadi sumber utama kepada beberapa negara rantau Afrika.

"Sarawak mempunyai banyak sungai dan sekiranya sumber ini tidak dimanfaat dengan menggunakan teknologi, ia akan menjadi satu pembaziran sedangkan ia adalah anugerah yang tidak dimiliki banyak tempat lain.

"Pendekatan kita ialah tidak membazir sumber yang ada, sebaliknya menggunakannya untuk manfaat rakyat serta dikongsi dengan negara lain yang memerlukan," katanya.

Ditanya bila eksport air itu boleh dilaksanakan pula, beliau menegaskan keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan keperluan bekalan air rakyat di Sarawak dipenuhi terlebih dahulu sebelum mengeksport lebihan bekalan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan negara sasaran pertama kerana rundingan masih berlangsung, namun mengesahkan sudah ada perbincangan ke arah menjadikan air sebagai satu lagi komoditi eksport yang mampu menjana pendapatan baharu kepada Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau telah menghadiri Mesyuarat Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, mesyuarat itu antara lain membincangkan isu baharu berkaitan industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Katanya, Sarawak menerima permohonan daripada beberapa syarikat antarabangsa, termasuk dari Jepun dan Singapura, untuk menyimpan karbon di takungan CCUS di perairan negeri ini.

"Namun, satu rangka kerja kawal selia pada peringkat Persekutuan diperlukan bagi mengurus pemindahan karbon rentas sempadan walaupun Sarawak sudah mempunyai undang-undang CCUS sendiri," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan