BH Online
Ringkasan Berita

BERSAMA ketepi PRN NS, fokus PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) memutuskan tidak bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
BERSAMA ketepi PRN NS, fokus PRN Melaka

Bendera BERSAMA. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) memutuskan tidak bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab dalam kenyataan bersama hari ini, menjelaskan alasan untuk tidak meletakkan calon pada PRN itu kerana bimbang terpalit isu politik semasa, krisis adat dan perlembagaan negeri berkenaan selain berdepan kekangan masa dan sumber.

Mengambil kira faktor itu, BERSAMA memutuskan adalah lebih strategik untuk parti memberi tumpuan bertanding PRN Melaka.

"Ada beberapa perbezaan ketara dengan PRN Johor baru-baru ini. Pertama, persaingan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah lebih sengit di Negeri Sembilan termasuk faktor PH sebagai kerajaan negeri.

"Kedua, keputusan PRN Negeri Sembilan berkemungkinan mempengaruhi isu-isu lain yang terheret sama dengan pertembungan politik semasa, termasuk konflik membabitkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

"Mengambil kira isu-isu ini serta kekangan masa dan sumber, BERSAMA berpendapat adalah lebih strategik agar fokus BERSAMA beralih kepada PRN Melaka yang akan diadakan beberapa bulan dari sekarang," katanya.

Mengenai persediaan awal PRN Melaka, BERSAMA memaklumkan mesyuarat akan berlangsung Selasa depan.

Katanya mesyuarat itu antara lain akan menyentuh agihan kerusi dan saringan calon supaya butiran itu dapat diumumkan lebih awal.

"Kami berharap tempoh masa yang lebih lama memberi ruang kepada BERSAMA masuk ke PRN Melaka dengan lebih bersedia, di samping pertimbangan lain yang diambil kira," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan