SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) akan memperkemas strategi termasuk mendekati pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, selain menyusun gerak kerja serta penyampaian mesej yang lebih tersusun bagi mempertahan pentadbiran parti itu di negeri berkenaan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pada PRN Johor, pihaknya mengakui PH lebih banyak memberi tumpuan kepada pengundi teras melalui pendekatan seperti ceramah umum.
Beliau berkata, hasil 'bedah siasat' PRN Johor turut mendapati penurunan sokongan pengundi Melayu terhadap gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, perubahan strategi akan dilaksanakan dengan mengambil kira latar belakang, lokaliti dan kawasan calon terutama di Negeri Sembilan yang kini ditadbir PH.
"Mungkin di Johor, kehadiran kita dalam kerangka pembangkang yang ingin merampas.
Jadi tindakan kempen agresif dilakukan bersesuaian dengan mood dan nada yang diperlukan.
"Cuma dalam pendekatan Negeri Sembilan ini, kita tengok kepada kesesuaian latar belakang, lokaliti dan kawasan calon yang kita perkenalkan.
"Alhamdulillah, saya percaya kita masih berada pada landasan yang tepat dan kukuh untuk pertahankan Negeri Sembilan," katanya selepas Program Ambulans Kita Selangor Fasa Dua dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai calon akan mewakili PH bagi PRN Negeri Sembilan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN itu pada Sabtu ini, manakala mengundi awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.
Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Negeri Sembilan.
Sementara itu, Amirudin berkata, beliau yang baru dilantik Pengarah Pilihan Raya PH akan terbabit aktif dalam persiapan menghadapi pilihan raya negeri itu.
"Saya baru dilantik Pengarah Pilihan Raya PH semalam untuk menguruskan pengurusan pilihan raya parti dan sudah pasti saya terbabit aktif untuk persediaan di Negeri Sembilan.
"Tetapi di Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar) juga melaksanakan beberapa langkah awal, jadi kita akan gabungkan dengan keperluan dan sokongan diperlukan supaya gerak kerja lebih kemas serta mesej teratur dan tersusun daripada komponen PH," katanya.
Amirudin berkata, perbincangan bersama kepimpinan PH akan diadakan bagi memperkemaskan gerak kerja dan pendekatan kempen.
























