BH Online
Ringkasan Berita

KCJ terima bayaran RM24.4 juta bagi projek bina jalan projek Jana Wibawa

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Datuk Wan Hasnan Wan Musa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, JKR membuat pembayaran RM24.4 juta kepada sebuah syarikat pembinaan bagi projek Program Jana Wibawa.
KCJ terima bayaran RM24.4 juta bagi projek bina jalan projek Jana Wibawa

Muhyiddin hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkannya di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Datuk Wan Hasnan Wan Musa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, JKR membuat pembayaran RM24.4 juta kepada sebuah syarikat pembinaan bagi projek Program Jana Wibawa.

Beliau yang membacakan pernyataan saksinya, berkata syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd menerima pembayaran terbabit bagi Projek Membina Jalan Baru Menyambung FELDA Bukit Jalor Ke Gemas.

Mahkamah pada prosiding sebelum ini diberitahu, KCJ Engineering adalah antara 54 syarikat dicadangkan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi surat bertarikh 13 November 2020 bagi melaksanakan projek Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

Wan Hasnan mengesahkan dokumen Baucer 'Bayaran Kerajaan Malaysia Arahan Pembayaran Daripada Kumpulan PTJ Negeri Sembilan, Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan kepada KCJ Engineering Sdn Bhd' bertarikh 26 Mei 2022 berjumlah RM10 juta.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, bayaran itu dibuat bagi bayaran Wang Pendahuluan Kontrak (WPK) untuk projek berkenaan.

Katanya, berdasarkan baucer bayaran terbabit, beliau mengesahkan bayaran itu sudah dibuat ke akaun milik syarikat.

Beliau turut mengesahkan dokumen baucar bayaran yang semuanya berjumlah RM14.4 juta melalui sembilan transaksi di antara 28 Mac 2022 dan 9 Disember 2022.

Wan Hasnan turut mengesahkan bayaran disyorkan bagi projek itu berjumlah RM4.7 juta, bagaimanapun tiada bayaran dibuat kepada kontraktor utama kerana tiada peruntukan.

Terdahulu, saksi mengesahkan dokumen Surat Setuju Terima (SST) daripada JKR kepada KCJ Engineering bertarikh 30 Julai 2021 bagi tender projek itu

"Saya sahkan kandungan surat ini menyatakan pemakluman Kerajaan Malaysia bersetuju menerima tawaran tender daripada KCJ Engineering dengan harga RM62 juta untuk tempoh kontrak 34 bulan.

"Berdasarkan Tatacara Perolehan Kerajaan, saya sahkan satu kontrak perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh SST dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal pada sesi pemeriksaan utama, Wan Hasnan berkata, projek berkenaan yang bermula 22 Disember 2021, akan siap pada hujung bulan ini.

Beliau berkata, kemajuan projek dipantau melalui mesyuarat bulanan dihadiri semua jurutera daerah.

"Bagi peratus kemajuan semasa, saya tidak pasti, namun projek ini dijangka siap pada hujung Julai ini.

"Sebahagian daripada projek ini sudah diserahkan kepada kerajaan, kontraktor menyiapkan dan menyerahkan bahagian itu dan kami mengeluarkan Sijil Siap. Baki kerja dijangka siap pada hujung bulan ini," katanya.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pada prosiding 6 Julai lalu memberitahu mahkamah, KCJ Engineering tidak melepasi penilaian pertama Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Jana Wibawa.

Beliau berkata, KCJ Engineering bagaimanapun lulus penilaian kali kedua dan disyorkan bagi projek itu berdasarkan keputusan jawatankuasa yang bermesyuarat pada 26 Februari 2021.

Katanya, syarikat itu pada asalnya dicadangkan untuk melaksanakan projek bernilai RM100 juta bagi pembinaan jalan menghubungkan FELDA Bukit Jalor dengan Gemas, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, selepas maklumat tambahan dikemukakan melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO), syarikat itu menjalani penilaian kali kedua dan didapati memenuhi syarat diperlukan.

Projek itu kemudian dianugerahkan kepada syarikat berkenaan melalui rundingan pada nilai kontrak RM62 juta.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, BERSATU menerima wang RM800,000 daripada KCJ Engineering melalui pengeluaran empat cek empat tahun lalu.

Wan Hasnan memberikan keterangan terhadap Muhyiddin yang didakwa menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan program Projek Jana Wibawa.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin, Wan Hasnan bersetuju PMO tidak campur tangan dalam urusan mengeluarkan bayaran interim atau wang pendahuluan kepada KCJ Engineering.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

Video Terkini

Berita Berkaitan