BH Online
Ringkasan Berita

Mahkamah Koroner putuskan Dr Noor Aishah tak dibenar teruskan keterangan saksi pakar inkues Zara Qairina

KOTA KINABALU: Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini memutuskan Dr Noor Aishah Rosli tidak dibenar meneruskan keterangan sebagai saksi pakar dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Mahkamah Koroner putuskan Dr Noor Aishah tak dibenar teruskan keterangan saksi pakar inkues Zara Qairina

Dr Noor Aishah Rosli. Gambar fail

KOTA KINABALU: Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini memutuskan Dr Noor Aishah Rosli tidak dibenar meneruskan keterangan sebagai saksi pakar dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Amir Shah berkata, saksi ke-76 itu tidak boleh terus berfungsi sebagai saksi pakar aktif pada prosiding berkenaan kerana ia akan menimbulkan persepsi seolah-olah mahkamah membenarkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang.

"Saksi ke-76 tidak boleh dibenarkan untuk terus berfungsi sebagai saksi pakar aktif dalam prosiding ini.

"Membenarkan beliau terus memberi keterangan akan menimbulkan tanggapan yang boleh menjejaskan pentadbiran keadilan kerana ia seolah-olah mengesahkan ketidakpatuhan secara sedar terhadap larangan tegas yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya.

Dr Noor Aishah,51, memberi keterangan selama dua hari sejak Isnin lalu sebagai kaunselor berdaftar dan pakar psikologi klinikal kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau mengakui hanya berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan bukan sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak mengikut Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774).

Semalam, pegawai pengendali inkues, Nahra Dollah, membantah kelayakan Noor Aishah untuk terus memberi keterangan sebagai saksi pakar.

Dalam hujahan lisan pagi tadi, beliau berhujah bahawa saksi gagal memenuhi syarat mengikut Akta 774, justeru keterangannya sebagai pakar tidak seharusnya diterima.

Amir Shah berkata, bantahan itu bukan berkaitan kredibiliti atau nilai pendapat yang diberikan saksi, sebaliknya membangkitkan persoalan asas undang-undang sama ada seseorang yang dilarang secara statutori daripada mengamalkan sesuatu profesion boleh diiktiraf sebagai saksi pakar dalam bidang yang sama di mahkamah.

Beliau berkata, mahkamah perlu mengimbangi dua kerangka perundangan iaitu Seksyen 45 Akta Keterangan 1950, yang mengawal kebolehterimaan pendapat pakar berdasarkan kemahiran khusus seseorang saksi dan Akta 774, yang digubal bagi mengawal selia standard profesion serta menjadikan amalan tanpa kelayakan sebagai suatu kesalahan.

Bagaimanapun, katanya, timbul persoalan berasingan mengenai keterangan yang sudah direkodkan sebelum ini, termasuk laporan saksi yang ditandakan sebagai Eksibit I-299.

"Saya mengambil maklum bahawa inkues ialah suatu prosiding sui generis, iaitu proses siasatan pencarian fakta yang unik bertujuan semata-mata untuk mencari kebenaran.

"Oleh itu, daripada mengetepikan terus keterangan yang sudah direkodkan, saya berpandangan tindakan paling sesuai ialah mengekalkan rekod sedia ada dan menangguhkan keputusan mengenai kebolehterimaan serta nilai perundangan keterangan itu sehingga inkues selesai.

"Sudah tentu keputusan itu tertakluk kepada keseluruhan keterangan lain yang dikemukakan sepanjang inkues dan hujahan penutup semua pihak," katanya.

Terdahulu, peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes itu, berhujah disebabkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang, Eksibit I-299 serta pendapat lisan Noor Aishah juga perlu ditolak sepenuhnya sebagai keterangan pakar.

Sementara itu, peguam Shahlan Jufri dan Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip, yang mewakili ibu bapa Zara Qairina, berhujah memandangkan inkues adalah prosiding pencarian fakta yang tidak bersifat adversarial, peraturan pembuktian perlu diterapkan secara lebih fleksibel.

Prosiding inkues akan disambung esok.

Video Terkini

Berita Berkaitan