BH Online
Ringkasan Berita

Pampasan kepada mangsa nahas perlu jadi pelengkap, bukan pengganti

KUALA LUMPUR: Cadangan mekanisme pampasan yang membolehkan mahkamah mengarahkan pemandu yang disabitkan kesalahan lalu lintas serius membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris mereka perlu dilihat sebagai pelengkap kepada hukuman jenayah, bukannya pengganti kepada sistem pampasan sedia ada.
Pampasan kepada mangsa nahas perlu jadi pelengkap, bukan pengganti

Tan Sri Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR: Cadangan mekanisme pampasan yang membolehkan mahkamah mengarahkan pemandu yang disabitkan kesalahan lalu lintas serius membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris mereka perlu dilihat sebagai pelengkap kepada hukuman jenayah, bukannya pengganti kepada sistem pampasan sedia ada.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu adalah langkah tepat untuk memperkukuh akauntabiliti pengguna jalan raya serta memastikan mangsa dan keluarga mereka menerima pembelaan yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata hukuman seperti penjara, denda atau penggantungan lesen sememangnya bertujuan menghukum pesalah dan mencegah pemanduan berbahaya, namun ia tidak semestinya mampu menampung kerugian yang ditanggung mangsa, termasuk kos rawatan, pemulihan, kehilangan pendapatan dan kesan jangka panjang terhadap kehidupan keluarga.

"Mekanisme pampasan yang diperintahkan mahkamah mengiktiraf bahawa individu yang menyebabkan kecederaan serius atau kematian akibat kecuaian dan pemanduan melulu perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar terhadap akibat perbuatan mereka.

"Ia juga menegaskan bahawa keselamatan jalan raya bukan sekadar kewajipan di sisi undang-undang, tetapi tanggungjawab sosial yang perlu dipikul setiap pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Lam Thye berkata pelaksanaan mekanisme itu perlu dirangka secara teliti supaya kekal adil, seimbang dan praktikal.

Katanya, mahkamah perlu membuat perintah pampasan berdasarkan fakta setiap kes dengan mengambil kira tahap kecederaan, kerugian sebenar yang dialami mangsa serta kemampuan kewangan pesalah.

Beliau turut menegaskan mekanisme itu tidak seharusnya menggantikan saluran pampasan sedia ada seperti tuntutan insurans dan tindakan sivil, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap bagi memastikan mangsa memperoleh keadilan yang lebih menyeluruh.

"Garis panduan yang jelas perlu diwujudkan bagi mengelakkan pertindihan tuntutan serta memastikan mangsa menerima bantuan yang bermakna dalam tempoh munasabah," katanya.

Lam Thye berkata jika dilaksanakan dengan berkesan bersama penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, pendidikan keselamatan jalan raya dan penambahbaikan sistem pengangkutan, cadangan itu mampu menyumbang kepada pembentukan budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab.

Beliau berkata, setiap pengguna jalan raya mempunyai tanggungjawab untuk melindungi nyawa orang lain dan mereka yang mengabaikan tanggungjawab itu sehingga menyebabkan kecederaan serius atau kematian perlu bersedia bukan sahaja berdepan hukuman jenayah, malah memikul tanggungjawab membayar pampasan kepada mangsa atau waris yang terjejas.

Video Terkini

Berita Berkaitan