SHAH ALAM: Inisiatif Ambulans Kita Selangor fasa kedua diperluaskan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memudahkan serta mempercepatkan akses kesihatan kepada rakyat.
Pada pelaksanaan fasa pertama bermula November 2025 hingga Jun lalu, perkhidmatan Ambulans Kita Selangor hanya dilaksanakan di 26 DUN.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fasa kali ini turut diperluas ke semua 86 Klinik Kesihatan seluruh negeri selain perkhidmatan juga boleh dimanfaatkan ke 23 hospital kerajaan menggunakan 48 ambulans milik St John.
"Khidmat ambulans percuma ini telah melangkaui ataupun meliputi khidmat ambulans percuma ke seluruh negeri. Kita harap ia beri kesan yang baik kepada keterhubungan dan akses kesihatan rakyat secara menyeluruh.
"Keseluruhannya kerajaan negeri memperuntukkan sekitar RM1 juta menyediakan inisiatif ini sejak fasa pertama yang diperkenal pada November tahun lalu," katanya selepas Program Ambulans Kita Selangor Fasa Dua dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di sini, hari ini
Mengulas lanjut, Amirudin berkata sepanjang fasa pertama, perkhidmatan berkenaan telah mengurus 374 perjalanan pergi dan pulang 103 pesakit.
Katanya, rekod mendapati tiga lokaliti iaitu Taman Medan (Petaling Jaya), Sijangkang (Kuala Langat) dan Paya Jaras (Sungai Buloh) mencatatkan penggunaan ambulans tertinggi.
Jelasnya, ia menunjukkan kawasan pinggir bandar memerlukan bantuan dan sokongan lebih besar berbanding kawasan lain yang mana mereka bukan hanya mendapat rawatan di hospital dalam Selangor sebaliknya turut mendapat rawatan di Putrajaya, Kuala Lumpur selain Teluk Intan dan Slim River di Perak.
"Jadi kita lihat keperluannya menyeluruh. Ia turut mendapat permintaan daripada kawasan perumahan penduduk berpendapatan rendah (B40) serta sederhana kerana keperluan ini memberi sokongan lebih baik berbanding sewa ambulans swasta," katanya.
Dalam program sama, Amirudin turut memperkenalkan Bunga Tanjung sebagai Ikon Kesihatan Awam Selangor bagi mencerminkan iltizam pentadbiran untuk terus memperkasa agenda kesihatan awam.
"Ikon ini tunjuk kebersamaan, keterlibatan masyarakat dan kerjasama semua pihak, Bunga ini gambarkan kerjasama erat kerajaan, institusi dan masyarakat secara menyeluruh.
"Kita bukan hanya sediakan kesihatan awam dan bergantung kepada Kementerian Kesihatan sahaja tetapi turut libatkan kerjasama swasta untuk uruskan dan beri kesan lebih baik," katanya.
November tahun lalu, Amirudin melancarkan Ambulans Kita Selangor bagi membantu golongan B40 di 26 kawasan DUN sekitar tiga daerah utama iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya inisiatif berkenaan dapat menjimatkan kos antara RM250 hingga RM600 bagi keluarga yang sebelum ini terpaksa menggunakan perkhidmatan ambulans swasta.
























