SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memperkukuh sokongan kesihatan mental di sekolah, selain meneliti cadangan memperluas penggunaan mesin pengimbas keselamatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia susulan kejadian seorang pelajar perempuan ditikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting, dekat Kuala Langat.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) akan membentangkan laporan lengkap insiden pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat bagi menentukan tindakan susulan.
"(Laporan dibentang) termasuk usaha menangani isu kesihatan mental yang boleh menyumbang kepada masalah buli atau perlakuan jenayah tidak diingini.
"Kita akan tunggu kertas sokongan JPNS. Kerajaan negeri sedia bantu menerusi jaringan sedia ada, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk anak-anak muda mengenai simptom dan kesan isu kesihatan mental," katanya pada sidang media selepas Program Ambulans Kita Selangor Fasa Dua dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di sini, hari ini.
Mengulas cadangan memperluas penggunaan mesin pengimbas di sekolah, Amirudin berkata perkara itu masih memerlukan penelitian berikutan kos penyediaan dan penyelenggaraannya tinggi.
"Mungkin kita akan melihat sekiranya ada keperluan, kita akan bincang untuk menambahnya.
"Tetapi akhirnya kerajaan boleh memulakan inisiatif dari peringkat awal. Penyelenggaraan sistem itu memerlukan sokongan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah.
"Kalau PIBG dan sekolah mempunyai keupayaan, saya mengalu-alukan usaha memperkenalkan mesin pengimbas seperti di sebuah sekolah menengah di Damansara Utama," katanya.
Sebelum ini seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas ditikam ketika di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat.
Tertuduh, 15, yang ditahan sejurus kejadian kemudian didakwa di Mahkamah Telok Datok atas pertuduhan cubaan bunuh dan diperintah menjalani penilaian serta rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
























