KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan membuat siasatan lanjut dan meneliti dakwaan sebuah kilang roti di sebuah daerah di negeri ini beroperasi tanpa sijil halal.
Premis yang beroperasi sejak puluhan tahun itu didakwa tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan diusahakan pemilik bukan Islam.
Perkara itu didedahkan sebuah entri di media sosial yang menitikberatkan kesedaran halal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) yang kini membuat siasatan mengenainya.
"Kita sudah ambil maklum berhubung premis (beroperasi tanpa sijil halal), memang akan buat pemantauan dan pemeriksaan segera kerana tak mahu perkara itu berleluasa.
"Apabila pendedahan dibuat, kita akan teliti balik dan buat siasatan awal, malah saya akan dapatkan maklumat terperinci nanti," katanya selepas majlis penyerahan pengesahan sijil halal 17 cawangan Nasken Coffee oleh Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di Pasir Tumboh di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Nasken International Sdn Bhd, Mohd Nazif Ab Aziz.
Kilang roti itu yang sudah beroperasi sejak lebih empat dekad lalu tidak memiliki SPHM dan difahamkan pernah ditutup sementara pada 2022 sebelum memulakan semula operasinya.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, proses perolehan SPHM bukan rumit dan hanya mengambil masa kurang sebulan jika penuhi syarat ditetapkan.
"Bahagian halal di jabatan agama akan datang tengok (premis itu) dan apabila selesai penelitian terhadap sebarang perkara berkaitan termasuk sudut tempat, produk dan kerja, memang cepat (untuk mendapat SPHM).
"Kita nak selesaikan SPHM dalam tempoh 30 hari, jangan lengahkan tetapi jika berlaku kelewatan, ia mungkin disebabkan isu premis itu yang perlu buat perubahan dan penambahbaikan, ini mengambil sedikit masa.
"Penjual atau pemilik premis makanan perlu mengikut etika, selain halal, suci dan bersih, perlu juga pastikan makanan yang tersedia ada elemen syariah, jangan hanya fikirkan untung saja," katanya.
























