KANGAR: PAS Perlis menegaskan tidak akan menjalinkan kerjasama politik bersama mana-mana bekas ahli BERSATU yang terbabit dalam pengkhianatan yang kini menyertai Parti Wawasan Negara (WAWASAN).
Pesuruhjaya PAS Perlis, Ahmad Ali, berkata pendirian itu diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah serta memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti dalam perjuangan politik parti itu sejak sekian lama.

Katanya, selagi isu pengkhianatan belum diselesaikan atau tiada tindakan jelas daripada BERSATU terhadap kumpulan terbabit, maka sebarang bentuk kerjasama politik dengan kumpulan mereka tidak wajar dipertimbangkan sama sekali.
"PAS Perlis berpandangan setiap perjanjian antara parti gabungan perlulah dipatuhi dan dijalankan sebaiknya kerana pelanggaran terhadap sebarang perjanjian jelas menunjukkan pengkhianatan serta mencetuskan ketidakharmonian.
"Justeru, pihak BERSATU perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan tersebut sekiranya terdapat asas melalui proses sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, setiap isu yang membabitkan pengkhianatan terhadap perjuangan hendaklah ditangani secara bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, PAS Perlis akan terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan serta membuat setiap keputusan politik berdasarkan keadilan dan kepentingan rakyat.
"Kami kekal komited untuk memperkukuh kesatuan dalam kalangan rakan gabungan yang benar-benar ikhlas mempertahankan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
"Kami juga sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan dalam setiap bentuk kerjasama politik," katanya.
Sementara itu, Penyelaras WAWASAN Perlis, Azahar Hassan menerusi hantaran di laman sosialnya hari ini, menyifatkan perjuangan parti baharu berkenaan akan terus diperkasakan di negeri ini.
"Alhamdulillah, tahniah daripada Parti Wawasan Negara Negeri Perlis. Perjuangan Wawasan Negara akan diperkasakan, padang yang sama, pemain hampir sama, sasaran yang sama," katanya.
Kemelut politik Perlis bermula apabila bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meletak jawatan pada Disember lalu, dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah menggantikannya.
Sejak itu, berlaku ketidakstabilan dalam politik di negeri paling utara di Semenanjung apabila timbul khabar angin Abu Bakar akan dijatuhkan melalui usul undi tidak percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
Bagaimanapun, Abu Bakar masih mengekalkan jawatannya sehingga kini selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.























