SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sudah mengenalpasti tapak bersesuaian bagi pembinaan Hospital Petaling Jaya dan akan menyegerakan proses pengambilan tapak berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata terdapat dua cadangan tapak yang bersesuaian bagaimanapun tapak yang paling mudah diakses berada di kawasan Taman Medan.
"Tapak di Taman Medan berada dalam kawasan persekitaran penduduk yang padat tetapi akses yang jauh daripada institusi kesihatan seperti Hospital Shah Alam ataupun Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).
"Pembinaan hospital di kawasan itu juga akan turut memberikan manfaat kepada penduduk di Puchong, Jalan Klang Lama dan juga di kawasan Subang yang boleh mendapat akses terhadap pembangunan kesihatan tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Ambulans Kita Selangor Fasa Dua dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, tapak alternatif adalah di kawasan Kelana Jaya dengan keluasan yang lebih kurang sama iaitu antara 10 hingga 15 hektar.
"Bagaimanapun, maklumat dan respon dari Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa kawasan di PJS (Taman Medan) itu antara yang paling sesuai dan menjadi pilihan utama.
"Kita akan gerakkan secepat mungkin untuk proses pengambilan (tanah)," katanya.
Media pada Mei lalu melaporkan, Hospital Petaling Jaya bakal dibina dengan konsep vertikal dan mampu menampung kapasiti 500 katil.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, konsep vertikal sama sebelum ini sudah dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan mengoptimumkan kos bagi Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut positif pemaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan untuk pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.
"Usaha mencari tapak bagi hospital awam Petaling Jaya sudah digerakkan secara aktif oleh kerajaan negeri sejak 2018 dengan mengambil kira peningkatan jumlah penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang.
"Di Petaling Jaya sahaja, jumlah penduduk kini melebihi 800,000 orang dan mereka ketika ini banyak bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya dalam kenyataan.
























