BH Online
Ringkasan Berita

Ahli Parlimen Pasir Gudang suarakan kebimbangan kewujudan operasi Network School di Forest City

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan menyuarakan kebimbangan mengenai operasi Network School di Forest City di Johor Bahru, yang mungkin boleh memberi ancaman kepada laluan antarabangsa di Selat Melaka.
Ahli Parlimen Pasir Gudang suarakan kebimbangan kewujudan operasi Network School di Forest City

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan menyuarakan kebimbangan mengenai operasi Network School di Forest City di Johor Bahru, yang mungkin boleh memberi ancaman kepada laluan antarabangsa di Selat Melaka.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), mendakwa dengan kedudukan Johor sebagai antara pusat data terbesar di rantau ini, Network School boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara, ketika bentuk ancaman kini turut meliputi serangan siber dan digital.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan, termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Digital, Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedar mengenai perkara itu.

"Adakah pihak kementerian menyedari bahaya dan ancaman kepada keselamatan negara apabila pakar digital dan pempengaruh bertaraf global dunia, yang mempunyai hubungan rapat dengan negara haram Zionis Israel serta mempunyai kaitan rapat dengan agensi perisikan Mossad (menggunakan Network School)?

"Dari sumber yang saya dimaklumkan, (mereka) menggunakan Network School di Forest City itu untuk mengumpul data dan melatih rekrut, yang pada akhirnya Forest City sebagai pusat mereka yang terletak di laluan di Selat Melaka.

"Ada kemungkinan pada akhirnya akan mengancam Selat Melaka sebagai laluan antarabangsa secara khusus dan keselamatan negara secara umumnya," katanya membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School, susulan kebimbangan orang ramai, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.

Susulan itu, Jabatan Imigresen, semalam menjalankan naziran terhadap sebuah komuniti antarabangsa di Forest City, membabitkan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata hasil semakan awal mendapati semua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.

Bagaimanapun katanya, semakan dan siasatan lanjut sedang diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan.

Video Terkini

Berita Berkaitan