AYER KEROH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, mengekalkan sokongan kepada kerajaan negeri walaupun empat wakil rakyat DAP bertindak sebaliknya semalam.
Adly wakil rakyat tunggal AMANAH di Melaka berkata beliau masih menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
ADUN Bukit Katil itu berkata, tidak ada keperluan untuk beliau menarik sokongan terhadap Ab Rauf buat masa ini meskipun empat rakannya daripada DAP berbuat demikian semalam.
"Buat masa ini memanglah kita tahu bahawa kita sebagai seorang ADUN, Ketua Menteri kita dia (Ab Rauf) seorang (sahaja) bukan ada ramai pun.
"Soal jawatan, saya nak letak jawatan apa? Saya tak ada jawatan apa-apa pun dalam kerajaan negeri ketika ini," katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang medianya memaklumkan beliau bersama tiga ADUN parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.
Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat ADUN DAP dan seorang wakil AMANAH melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Timbalan Speaker dan Timbalan EXCO.
Sementara itu, mengulas saranan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya DAP menangguhkan dulu hasrat keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, perkara itu akan dibincangkan esok.
Katanya, PH Melaka belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kedudukan gabungan itu dalam kerajaan negeri setakat ini.
Beliau berkata, PH mempunyai mekanisme tersendiri dalam menyelesaikan sebarang isu yang membabitkan parti komponennya sebelum sesuatu pendirian diumumkan.
"Esok kita akan berbincang dan pandangan semua ADUN serta parti dalam PH akan diambil kira, selepas itu kita akan maklumkan keputusan rasmi.
"Memang kalau kita lihat mereka (empat ADUN DAP) ada maklumkan tindakan (tarik sokongan) dan setiap parti dalam PH ada hak masing-masing untuk bertindak, cuma bila dia bertindak atas nama PH, kita akan bincangkan secara konsensus.
"Ini dibuat tanpa menidakkan hasrat parti masing-masing, keutamaan kita tetap (perkhidmatan) kepada rakyat," katanya.
























