KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunggu penjelasan lanjut DAP Melaka berhubung ketetapan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Gesaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dibuat selepas beliau mengakui belum menerima sebarang maklum balas daripada kepemimpinan DAP Melaka berhubung situasi berkenaan.
"Itu mereka (DAP Melaka) akan 'follow up' (beri maklum balas) nanti, 'soon' (dalam masa terdekat), okey.
"(Setakat ini) mereka tak ada (beri maklum balas ketetapan berkenaan). Belum, belum, belum. Saya pun baru lepas di Parlimen (persidangan Dewan Rakyat) pagi tadi," katanya pada sidang media di sini hari ini.
BH semalam melaporkan, Anwar yang juga Perdana Menteri memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
Permohonan Anwar itu dibuat susulan ketetapan DAP Melaka menarik balik sokongan terhadap Ab Rauf, sekali gus menjadi pembangkang bersama Perikatan Nasional (PN).
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH berbuat demikian kerana tidak bersetuju dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh ADUN secara lantikan.
Serentak itu, semua wakil PH yang dilantik sebagai EXCO dan Timbalan EXCO; Timbalan Yang Dipertua DUN Melaka, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) turut meletak jawatan.
Terdahulu, Anwar ketika merasmikan Majlis 'a Celebration of Life and Peace' anjuran Yayasan ERM, mengingatkan kecemerlangan murid tidak akan memberi makna jika mereka tidak dididik menjadi insan baik, menghormati guru dan menyayangi ibu bapa.
Beliau turut menitipkan pesanan supaya generasi muda menjauhi sebarang perbuatan negatif termasuk gejala buli di sekolah yang boleh merosakkan masa depan mereka.
"Kita belajar untuk apa, hendak jadi baik, jadi pandai... Kalau belajar pandai, pergi sekolah kacau orang, buli orang, besar sikit dia pukul orang, itu tidak baik.
"Jadi, boleh tak semua janji dengan 'Atuk' (Perdana Menteri)... kita semua akan belajar dengan rajin, hormat guru, kasih dan doa kepada ibu bapa supaya jadi manusia berguna kepada masyarakat," kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Pada majlis itu, seramai 700 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang menyambut ulang tahun kelahiran dalam bulan ini, diraikan pada majlis yang membawa mesej mengenai kepentingan keamanan, kasih sayang serta harapan terhadap masa depan setiap kanak-kanak.
Mereka adalah murid dari 47 sekolah terpilih sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
























