KUALA LUMPUR: Sebanyak RM238.64 juta dikembalikan dalam bentuk penjimatan kepada rakyat melalui Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata penjimatan dalam bentuk subsidi oleh kerajaan itu membabitkan 21 juta traksaksi sehingga 13 Julai lalu.
Selain itu, katanya, kementerian melantik 2,665 rakan strategik bagi melaksanakan PJRM, termasuk 606 kedai runcit.
"Kita melipat gandakan jumlah kedai runcit yang menjadi rakan strategik, berbanding 212 kedai pada tahun lalu, sekali gus membantu usahawan kecil tempatan.
"Selain itu, sebanyak 35 koperasi juga terbabit sebagai rakan strategik dalam melaksanakan PJRM," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai jumlah penjimatan yang dinikmati rakyat melalui PJRM sejak diperkenalkan dan strategi kementerian untuk meningkatkan hebahan program supaya lebih ramai rakyat mengetahui lokasi serta jadual pelaksanaannya.
Fuziah berkata, pada tahun ini, pihaknya mensasarkan 30,000 siri PJRM, peningkatan berbanding 25,708 siri pada tahun lalu.
"Sehingga 13 Julai, kita sudah melaksanakan 17,305 siri PJRM, termasuk 11,362 PJRM bergerak yang masuk ke kawasan kampung dan pedalaman," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan mengemaskini pemantauan, dengan mewajibkan semua operator mengemukakan laporan stok dan jualan secara terus bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat, Fuziah, berkata pemantauan berterusan di PJRM dilaksanakan oleh pegawai tambahan yang dilantik.
"Kementerian juga mewajibkan Sistem Tempat Jualan (POS) supaya kita boleh mendapat laporan yang tepat dan memastikan ada integriti dalam tuntutan," katanya.
























