BH Online
Ringkasan Berita

Jenayah terancang kini menjadi entiti perniagaan, manipulasi teknologi

GEORGETOWN: Jenayah terancang pada masa kini bukan lagi sekadar kegiatan haram biasa sebaliknya berevolusi menjadi sebuah entiti perniagaan tersusun yang memanfaatkan teknologi moden, rangkaian antarabangsa dan kepakaran profesional demi memaksimumkan keuntungan.
Jenayah terancang kini menjadi entiti perniagaan, manipulasi teknologi

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) 2026 Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini, hari ini. Foto STR/AMINAH YUSOF

GEORGETOWN: Jenayah terancang pada masa kini bukan lagi sekadar kegiatan haram biasa sebaliknya berevolusi menjadi sebuah entiti perniagaan tersusun yang memanfaatkan teknologi moden, rangkaian antarabangsa dan kepakaran profesional demi memaksimumkan keuntungan.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sindiket jenayah terancang moden turut membentuk ekosistem tersendiri sehingga membolehkan operasi kumpulan penjenayah terbabit berkembang secara sistematik merentasi sempadan geografi dan negara.

"Satu perkara yang jelas tentang jenayah terancang ialah ia adalah satu aktiviti perniagaan. Jenayah adalah sebuah entiti perniagaan. Mereka tidak perlu mematuhi konsep kedaulatan, prosedur demokrasi mahupun instrumen dan institusi politik kerajaan. Mereka mempunyai peraturan mudah mereka sendiri yang dipatuhi sesama mereka.

"Suatu ketika dahulu, seorang penjenayah perlu merentas sempadan untuk melakukan jenayah di negara lain tetapi hari ini mereka boleh menyerang mangsa di negara lain, mencuci wang di dua negara berbeza, menggunakan infrastruktur yang dihoskan di empat buah negara lain dan hilang sebelum matahari terbit, tiada apa yang bergerak melainkan maklumat.

"Jenayah hari ini tidak lagi mempunyai sempadan, kurang bersifat fizikal, bersifat tanpa nama dan mempunyai akses kewangan lebih luas tanpa sekatan. Titik pentingnya di sini bukanlah teknologi itu sendiri tetapi hakikat bahawa ia telah terpisah daripada batasan fizikal," katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) 2026 di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily pada persidangan bertema Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi itu berkata, pusat penipuan kini muncul sebagai entiti jenayah yang semakin kukuh didorong jenayah siber seperti pemancingan data, perisian 'malware' dan pengklonan suara berasaskan AI yang semakin mudah dilaksanakan.

Beliau berkata, penjenayah lebih pantas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi berbanding kerajaan kerana mereka tidak terikat dengan prosedur pentadbiran atau perolehan rumit.

Katanya kumpulan jenayah terancang hanya memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu inovasi, kerjasama dan membina kepercayaan terhadap platform digunakan bagi memastikan operasi mereka terus berkembang.

"Bagi penjenayah, pasaran mereka kini menjadi lebih besar daripada sebelumnya. Maka, aktiviti menyeludup barang kontraband, dadah, senjata, bahan terlarang dan pemerdagangan manusia menjadi lebih mudah dengan adanya transaksi tanpa nama yang berlaku di 'dark web' dan ini bakal menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan dengan risiko yang rendah buat mereka.

"Aktiviti haram ini menjadi semakin rumit bagi negara seperti Malaysia yang mempunyai sempadan yang agak terbuka, beribu-ribu kilometer sempadan laut dan ratusan jalan pintas serta lorong tikus namun bagi penjenayah dan sindiket jenayah terancang, bahasa rasmi untuk mereka bekerjasama adalah sangat mudah iaitu maksimumkan keuntungan," katanya.

Kerja jenayah diserahkan kepada orang lain

Tambahnya, penjenayah pada masa kini turut menyerahkan kerja jenayah mereka kepada pihak luar dengan menggajikan syarikat pengklonan dan syarikat pengaturcaraan dan ironinya, golongan yang menerima pekerjaan itu kadangkala tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan jenayah kerana apa yang dilakukan adalah aktiviti berasaskan perkhidmatan.

"Ini kerana apabila ada pembiaya menawarkan peluang teknikal kepada graduan baharu, golongan penganggur, mahupun juruteknik berpengalaman, peluang seperti ini akan menjadi alternatif kepada pasaran kerja terutamanya di negara yang menghadapi kadar pengangguran yang tinggi atau negara yang mengalami krisis ekonomi.

Mohd Shuhaily berkata bagi mendepani evolusi berkenaan, teknologi kawalan keselamatan negara tidak boleh kekal statik.

Katanya ahli kriminologi harus beralih kepada keupayaan menjangka jenayah dengan lebih kerap.

Walaupun instrumen sedia ada seperti psikologi penjenayah, sosiologi, sains forensik dan forensik digital masih relevan, kepakaran baharu mesti ditambah meliputi penguasaan kod enkripsi, analisis kripto serta analisis pengubahan wang haram bagi membantu aktiviti penguatkuasaan serta penggubalan undang-undang yang lebih ketat.

Beliau berkata, penyelidikan tidak boleh lagi tertumpu kepada motif individu semata-mata sebaliknya perlu beralih kepada kajian sistem secara menyeluruh dengan memahami sistem membolehkan pihak berkuasa mengesan kelemahan pemegang taruh sama ada institusi, pasaran, teknologi, mahupun tadbir urus kerajaan dengan pendekatan itu memerlukan penyelidikan rentas disiplin.

Katanya, memandangkan jenayah rentas sempadan tidak menghormati kedaulatan negara, kajian dijalankan tidak sepatutnya terkurung dalam perspektif domestik dan jika penjenayah boleh bekerjasama pada peringkat global maka para penyelidik, agensi penguat kuasa dan kerajaan juga harus mengambil langkah yang sama.

Video Terkini

Berita Berkaitan