BH Online
Ringkasan Berita

Enam warga asing didenda RM1,200 setiap seorang terbabit judi Piala Dunia

BALIK PULAU: Enam warga asing didenda RM1,200 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak Piala Dunia secara bersama.
Enam warga asing didenda RM1,200 setiap seorang terbabit judi Piala Dunia

Empat warga China dan dua warga Myanmar berusia antara 23 hingga 31 tahun didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan terbabit sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia 2026. NSTP/AURIS FAQRURAZZI

BALIK PULAU: Enam warga asing didenda RM1,200 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak Piala Dunia secara bersama.

Tertuduh ialah empat lelaki warga China iaitu Yang Zhilong, Zhou Bao, Xu Kai dan Ma Jiahao serta dua wanita warga Myanmar, Khaing Moe Nwe dan Le Kyar Hkyan, berusia antara 23 hingga 31 tahun.

Majistret Chia Huey Ting turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menjalankan pertaruhan bagi perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 di sebuah kondominium di Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Baru, kira-kira jam 6.45 petang pada 1 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh dipercayai terbabit dalam sindiket yang menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 dengan menyasarkan pelanggan dari China.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, semua tertuduh mengangguk tanda memahami pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin sebelum mengaku bersalah.

Dalam rayuan, mereka memohon dikenakan denda minimum, namun Ikmal memohon mahkamah hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Sementara itu, pada prosiding berasingan, lima tertuduh kecuali Le Kyar, turut mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah memasuki Malaysia mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ikmal memaklumkan mahkamah bahawa semakan mendapati tiada rekod kemasukan mereka ke negara ini.

Mahkamah kemudian mendenda Ma Jiahao dan Khaing Moe Nwe masing-masing RM3,300 selepas mereka memaklumkan berada di Malaysia hampir sebulan.

Sementara itu, Zhilong, Bao dan Kai didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku berada di negara ini selama kira-kira 20 hari.

"Kami masuk ke Malaysia bersama-sama menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan darat ke Pulau Pinang," kata Zhilong kepada mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara sebulan jika gagal menjelaskan denda.

Video Terkini

Berita Berkaitan