BH Online
Ringkasan Berita

Bina loji kuasa nuklear: Kerajaan hanya pertimbang selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi, teknologi selamat

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan berhubung pembinaan loji jana kuasa nuklear di negara ini hanya akan dipertimbang selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi dan teknologi itu terbukti selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Bina loji kuasa nuklear: Kerajaan hanya pertimbang selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi, teknologi selamat

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merangkap Ahli Parlimen Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan berhubung pembinaan loji jana kuasa nuklear di negara ini hanya akan dipertimbang selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi dan teknologi itu terbukti selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Katanya, ketika ini, kementeriannya melalui Malaysia `Programme Office for Power Electricity Reform' (MyPOWER) Corporation selaku `Nuclear Energy Programme Implementing Organisation' (NEPIO) sedang melaksanakan penilaian menyeluruh dan berperingkat bagi menilai potensi pembangunan program tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik jangka panjang di Malaysia.

"Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk mempercepat peralihan sektor tenaga negara ke arah sistem tenaga yang lebih bersih, berdaya tahan dan mampan.

"Selain itu, kementerian akan memastikan prinsip trilema tenaga, iaitu jaminan bekalan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar terus dipelihara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai hasil sebarang kajian terhadap potensi sumber tenaga rendah karbon alternatif, seperti nuklear, biojisim, biogas dan geoterma sebagai pelengkap bagi sumber tenaga boleh baharu sedia ada untuk mengurangkan keterdedahan Malaysia kepada kejutan tenaga luaran.

Pada masa sama, Abdul Rahman, berkata PETRA menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengenal pasti sebanyak 51.88 megawatt (MW) potensi penjanaan tenaga bersumberkan Palm Oil Mill (POM) boleh dilaksanakan di Semenanjung.

SEDA, dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut melaksanakan kajian penilaian sumber geoterma di Ulu Slim, Perak.

"Bagaimanapun, berdasarkan hasil dapatan kajian itu, penggerudian eksplorasi perlu dilaksanakan bagi mengesahkan kapasiti sebenar dan kebolehlaksanaan pembangunan sumber geoterma di kawasan berkenaan," katanya.

Abdul Rahman berkata, ketika ini, kerajaan akan memberikan keutamaan strategik kepada pemerkasaan dan penggunaan sumber tenaga boleh baharu sedia ada yang terbukti berkesan serta berdaya maju, seperti Solar Photovoltaic (PV), biojisim, biogas dan hidrokuasa.

"Kerajaan sentiasa berusaha mempelbagaikan sumber alternatif rendah karbon dan tidak terikat dengan satu sumber atau teknologi saja bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga terjamin dengan harga yang kompetitif," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan