KUALA LUMPUR: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menyita RM32.49 juta dana milik mangsa penipuan sejak penubuhannya pada 2022 dengan RM10.9 juta daripadanya dikembalikan semula kepada mangsa menerusi prosedur perundangan yang berkuat kuasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata NSRC yang kini beroperasi 24 jam melalui talian 997 terus memainkan peranan penting dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian dengan mengambil tindakan pantas termasuk menyekat transaksi dan menghalang aliran keluar dana mangsa.
"Bagi tempoh 2022 hingga 2025, sebanyak RM25.2 juta dana sudah disita dengan 29 peratus atau RM7.3 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa.
"Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, sebanyak RM7.25 juta dana disita dengan RM3.57 juta atau 49 peratus daripadanya berjaya dipulangkan semula kepada mangsa," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman rasmi Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai keberkesanan operasi NSRC serta kerjasama rentas sempadan dalam mengekang sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang semakin sofistikated menggunakan teknologi 'deepfake'.
Saifuddin Nasution berkata, peningkatan kadar pemulangan dana itu membuktikan fungsi NSRC sebagai pusat respons penipuan nasional semakin efektif dan diyakini rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat melaksanakan pelbagai usaha bagi mengekang jenayah penipuan dalam talian termasuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan negara berkepentingan.
"Kerjasama berkenaan membolehkan perkongsian maklumat risikan bagi tujuan pembanterasan serta melaksanakan tangkapan membabitkan kerjasama polis ke polis.
"Malaysia juga telah menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kini dalam proses menyertai Konvensyen Budapest berkaitan jenayah siber.
"Melalui kedua-dua konvensyen ini, kerjasama dalam penyiasatan, pertukaran bukti digital, ekstradisi pelaku jenayah siber serta perkongsian maklumat bersama Interpol dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dapat diperkukuhkan," katanya.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan juga menjalin kerjasama melalui ASEAN Singapore Cybersecurity Centre of Excellence (ASCCE) bagi meningkatkan kapasiti pegawai PDRM dalam aspek keselamatan siber serta trend terkini jenayah siber termasuk penggunaan teknologi deepfake.
























