BH Online
Ringkasan Berita

'Jangan salah guna lambang polis untuk tujuan komersial' - KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius tindakan individu, syarikat atau organisasi yang menggunakan nama, lambang dan imej pegawai polis mahupun identiti rasmi pasukan itu bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.
'Jangan salah guna lambang polis untuk tujuan komersial' - KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail. Gambar fail

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius tindakan individu, syarikat atau organisasi yang menggunakan nama, lambang dan imej pegawai polis mahupun identiti rasmi pasukan itu bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata identiti rasmi PDRM adalah aset institusi yang perlu dipelihara dan tidak boleh sama sekali dieksploitasi untuk memperoleh keuntungan atau mewujudkan persepsi mengelirukan masyarakat.

Beliau berkata, masyarakat juga tidak seharusnya salah faham mengenai pembabitan pegawai polis di acara luar.

"PDRM menegaskan kehadiran mana-mana pegawai PDRM dalam sesuatu program tidak boleh ditafsirkan sebagai perakuan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat andaian bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan mendapat kelulusan atau sokongan rasmi PDRM hanya berdasarkan pembabitan warga PDRM dalam sesuatu program," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menyelar tindakan pihak tertentu yang cuba menggunakan identiti pasukan keselamatan itu bagi tujuan promosi, pemasaran dan pengiklanan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan perundangan, Mohd Khalid memberi amaran siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang berdegil menyalahgunakan identiti PDRM secara tidak sah atau berniat mengelirukan pengguna.

Beliau berkata, mereka boleh disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), tertakluk kepada fakta dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan kelak.

"PDRM kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan serta memastikan setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras undang-undang.

"Ini semua demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap polis," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan