BH Online
Ringkasan Berita

Wanita hamil dituduh mencuri: Lotus's mohon maaf, ambil tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR: Lotus's Malaysia mengesahkan sudah mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya selaras dasar dalaman syarikat, susulan insiden wanita mengandung yang dituduh mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.
Wanita hamil dituduh mencuri: Lotus's mohon maaf, ambil tindakan tatatertib

Kami ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku. Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami, kata Lotus’s dalam kenyataan semalam

KUALA LUMPUR: Lotus's Malaysia mengesahkan sudah mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya selaras dasar dalaman syarikat, susulan insiden wanita mengandung yang dituduh mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, tindakan menyusul selepas pihaknya selesai menjalankan siasatan terhadap insiden terbabit yang turut tular di media sosial.

"Kami mendapati bahawa cara insiden ini dikendalikan tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan yang sewajarnya diharapkan pelanggan terhadap Lotus's, mahupun standard yang kami tetapkan untuk diri kami sendiri.

"Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku.

"Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami. Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui. Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka," katanya.

Lotus's berkata, pihaknya kini mengambil langkah memperkukuh garis panduan, prosedur dan latihan bagi memastikan semua kakitangan terus mengamalkan standard perkhidmatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian berulang.

Kesal gangguan peribadi terhadap pekerja

Pada masa sama, syarikat peruncitan itu turut menzahirkan rasa kesal terhadap laporan gangguan peribadi dan ugutan secara dalam talian yang ditujukan kepada pekerja serta ahli keluarga terdekat mereka sepanjang insiden.

"Kami mohon agar semua pihak menghormati privasi, kesejahteraan dan harga diri setiap individu terbabit serta membenarkan perkara ini diteruskan dengan penuh persefahaman dan ihsan," katanya.

Jelasnya, insiden itu mengingatkan pihaknya kepentingan melayan setiap pelanggan dengan empati, rasa hormat dan bermaruah.

"Kami kekal komited untuk mengambil iktibar daripada pengalaman ini, terus menambah baik mutu perkhidmatan kami, serta terus berusaha meraih kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada Lotus's setiap hari," katanya.

Media sebelum ini melaporkan suami kepada seorang wanita mengandung mempertikaikan tindakan penyelia pasar raya itu yang menyuruh isterinya berdiri selama 20 minit selepas dituduh mencuri.

Lelaki dikenali sebagai Fareez, 25, memaklumkan isterinya berusia 23 tahun dan sarat hamil dituduh mencuri barang yang kononnya disorok dalam pakaian.

Video Terkini

Berita Berkaitan