BH Online
Ringkasan Berita

MCMC himpun pakar global corak landskap digital menerusi IRC 2026

KUALA LUMPUR: Landskap digital hari ini berkembang dengan sangat pantas. Di sebalik pelbagai kemudahan teknologi yang dinikmati, hadir juga cabaran baharu yang tidak boleh dipandang remeh seperti isu keselamatan data peribadi, buli siber, penipuan dalam talian serta penyebaran kandungan negatif.

KUALA LUMPUR: Landskap digital hari ini berkembang dengan sangat pantas. Di sebalik pelbagai kemudahan teknologi yang dinikmati, hadir juga cabaran baharu yang tidak boleh dipandang remeh seperti isu keselamatan data peribadi, buli siber, penipuan dalam talian serta penyebaran kandungan negatif.

Justeru, usaha memastikan teknologi terus berkembang maju tanpa mengabaikan aspek keselamatan pengguna kini menjadi keutamaan yang amat mendesak.

Menyedari hakikat itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026. 

Persidangan yang bakal berlangsung pada 21 dan 22 Julai 2026 di Shangri-La Kuala Lumpur ini akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Membawa tema "Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust", persidangan ini merupakan kesinambungan daripada edisi terdahulu sejak tahun 2024. 

Penganjuran platform bertaraf dunia ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam menerajui perbincangan dasar digital dan telekomunikasi di peringkat global.

Fokus utama: Keselamatan kanak-kanak dan privasi data

Sepanjang dua hari persidangan, fokus utama akan diberikan kepada perbincangan interaktif mengenai isu-isu digital semasa.

Antara topik yang mencuri tumpuan adalah bagaimana memastikan media sosial kekal menjadi platform yang selamat tanpa menyekat kebebasan bersuara, terutamanya bagi golongan kanak-kanak.

Sesi hari pertama akan dimulakan dengan ucaptama daripada Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez yang akan mengupas isu perlindungan golongan bawah umur di alam siber.

Ia kemudiannya disusuli dengan sesi dialog pertama, Online Safety by Design. 

Sesi ini akan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC, Eneng Faridah Iskandar, yang bertindak sebagai moderator untuk mengupas isu akauntabiliti serta tanggungjawab penyedia platform digital.

Bagi merancakkan wacana tersebut, panelis hebat seperti Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki dan wakil UNICEF, Saskia Blume turut dijemput bagi berkongsi pandangan mereka, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak di alam siber.

Tidak ketinggalan, isu hak pengguna dan perlindungan data peribadi turut akan diperincikan dalam sesi dialog kedua, Sovereign Data, Empowered Citizens.

Sesi petang pula akan diteruskan dengan perbincangan mengenai realiti ekonomi digital dan impak Kecerdasan Buatan (AI) menerusi sesi Dialog 3 dan Dialog 4. 

Sesi ini menampilkan pakar serta tokoh korporat daripada syarikat terkemuka seperti Maxis, T&G Digital, Ericsson, Shopee Malaysia dan PwC Southeast Asia.

Platform eksklusif penggiat industri dan pemegang taruh

Melalui perkongsian idea daripada pelbagai pakar tempatan dan antarabangsa ini, IRC 2026 diharapkan dapat melahirkan satu kerangka digital yang lebih kukuh dan dipercayai untuk masa depan negara.

Bagaimanapun, IRC 2026 merupakan sebuah acara eksklusif yang tidak dibuka kepada orang awam.

Persidangan ini diadakan khusus untuk para pemegang taruh, pemimpin industri dan pakar-pakar bidang berkaitan berdasarkan jemputan sahaja.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pengisian dan maklumat lanjut persidangan ini, layari laman web rasmi IRC 2026 di mcmc.gov.my/irc2026/home.

Video Terkini

Berita Berkaitan