BH Online
Ringkasan Berita

Saksi dedah sebahagian wang RM13.8 juta disumbang kepada BERSATU

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pembinaan dan kejuruteraan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sebahagian daripada wang yang dipindahkan beliau kepada syarikat milik abangnya, kemudiannya disumbangkan kepada BERSATU.
Saksi dedah sebahagian wang RM13.8 juta disumbang kepada BERSATU

Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan kes membabitkan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang hasil aktiviti haram berkaitan projek Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Nabila Adlina Azahari

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pembinaan dan kejuruteraan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sebahagian daripada wang yang dipindahkan beliau kepada syarikat milik abangnya, kemudiannya disumbangkan kepada BERSATU.

Pengarah Sutracom Sdn Bhd (SSB), Shahrin Shamsuddin, 41, berkata SSB memindahkan RM13.8 juta melalui sembilan transaksi kepada Mamfor Sdn Bhd, iaitu syarikat milik abangnya, Shahradzi di antara 13 September 2021 dan 14 November 2022.

SSB adalah syarikat yang memperoleh projek Membina dan Menaik Taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor bernilai RM605.3 juta.

Saksi pendakwaan ke-15 bagi kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa itu, berkata pemindahan bertujuan membayar perbelanjaan operasi dan hutang lapuk Mamfor, Majulia Sdn Bhd, SSB dan beberapa syarikat lain milik keluarga.

"Saya hanya tahu bahawa sebahagian wang yang dipindahkan ke Mamfor Sdn Bhd disumbangkan ke parti BERSATU ketika perbincangan keluarga selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya tidak pasti berapa pecahan jumlah wang yang Shahradzi guna untuk membayar hutang lapuk syarikat keluarga dan perbelanjaan operasi serta memberi sumbangan kepada BERSATU.

"Saya memberikan kepercayaan kepada beliau (Shahradzi) untuk menguruskan penyelesaian hutang-hutang lapuk syarikat dan perbelanjaan operasi syarikat milik keluarga saya," katanya.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat pada sesi pemeriksaan utama, sama ada beliau memberi kebenaran untuk abangnya, Shahradzi memindahkan wang itu kepada BERSATU, Shahrin menjawab, "tiada."

Disoal sama ada pada bila-bila masa beliau pernah bersetuju untuk serahkan wang itu kepada BERSATU sebagai sumbangan, Shahrin memberikan jawapan sama.

Ditanya Mahadi, siapa yang menguruskan pemindahan wang secara dalam talian itu beliau menjawab ia diuruskan olehnya.

Bagaimanapun, ketika disoal balas peguam Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Muhyiddin tidak mempunyai kaitan dengan syarikat Mamfor dan SSB serta tiada kepentingan kewangan dalam syarikat berkenaan.

Sementara itu, Shahrin yang membacakan pernyataan saksinya mengesahkan surat SSB Muhyiddin bertajuk 'Memohon Kelulusan Menyertai Tender Prakelayakan bagi Membina dan Menaik Taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, Klang, Selangor secara Reka dan Bina, bertarikh 5 Mac 2021.

Beliau berkata, dalam satu perbincangan keluarga, bapanya menyarankan mereka menghantar surat minat atau surat permohonan pertimbangan kepada Pejabat Perdana Menteri dan kementerian berkaitan untuk membabitkan diri dalam projek Pulau Indah Fasa 3, Klang.

Katanya, surat itu menyatakan SSB berminat bagi menyertai tender Pra-Kelayakan bagi projek terbabit, bagaimanapun Shahrin menjelaskan bahawa surat itu disediakan dan ditandatangani oleh abang sulungnya

Beliau berkata, walaupun mengetahui mengenai surat berkenaan, penyediaan dan penyerahannya diuruskan sepenuhnya oleh abangnya sebagai sebahagian daripada amalan biasa keluarga mereka untuk memohon pertimbangan bagi projek kerajaan.

Saksi itu berkata, Majulia turut mengemukakan permohonan kepada Muhyiddin untuk mendapat kelulusan menyertai projek sama.

Beliau berkata, SSB maklum bahawa projek itu disenaraikan dan diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri dan ia akan dilaksanakan pada tahun 2021 di bawah Rancangan Malaysia ke Dua Belas (RMK12) dengan dikawal selia oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

Katanya, pada 26 Mac 2021 SSB menerima emel daripada Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK) Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan syarikat itu disenaraikan untuk Penilaian Pra Kelayakan syarikat bagi pelaksanaan projek kerajaan.

"Saya sahkan pada 26 November 2021, SSBmenerima satu surat pelawaan tender bagi projek Membina dan Menaiktaraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3 akan dilaksanakan secara reka dan bina.

"Saya sahkan pada 8 Oktober 2022, SSB menerima surat setuju terima (SST) daripada JKR untuk melaksanakan projek itu yang berjumlah RM605.2 juta dan pemilikan tapak ditetapkan pada 28 Oktober 2022,'' katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

Video Terkini

Berita Berkaitan