BH Online
Ringkasan Berita

'BN dan PH di Melaka ibarat 'bernikah tak berkadi, bercerai tak bertalak' - Ab Rauf

AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyifatkan penyertaan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan negeri selama ini bukannya sebagai rakan rasmi sebaliknya hanya pelengkap atau ‘perhiasan’ kepada apa yang berlaku di Putrajaya.
'BN dan PH di Melaka ibarat 'bernikah tak berkadi, bercerai tak bertalak' - Ab Rauf

Suasana pengundian di Persidangan DUN Melaka. - Foto NSTP

AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyifatkan penyertaan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan negeri selama ini bukannya sebagai rakan rasmi sebaliknya hanya pelengkap atau 'perhiasan' kepada apa yang berlaku di Putrajaya.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 tidak pernah berjanji untuk bergabung dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri.

Namun, atas semangat kerjasama yang dibentuk pada peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, kepemimpinan negeri mengambil pendekatan inklusif dengan memberi ruang kepada wakil PH untuk bersama-sama dalam pentadbiran negeri.

"Sebenarnya dalam pembentukan kerajaan Melaka selepas PRN lalu, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendukung pembentukan sebuah kerajaan.

"Bagaimanapun, saya mengambil pendekatan persefahaman yang ada di Putrajaya supaya ia diwujudkan di Melaka pada 2022.

"Apa yang saya tekankan bahawa kedudukan mereka (PH) adalah pelengkap kepada perhiasan perpaduan yang digambarkan di Putrajaya dan kita sudah berjaya menjalankan pentadbiran kerajaan dengan penuh harmoni dan tanpa prasangka sehinggalah ke hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan DUN Melaka di Seri Negeri, di sini sebagai mengulas keputusan PH menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka, berkata pihaknya menghormati hak mereka untuk membuat keputusan berdasarkan prinsip dan pertimbangan parti mereka kerana pihaknya tidak akan menjadikan perbezaan pandangan mengenai dasar sebagai permusuhan peribadi atau alasan untuk menyerang mana-mana pihak.

Katanya, sekiranya terdapat sebarang keputusan rasmi berkaitan kedudukan dalam pentadbiran negeri, perkara berkenaan akan diuruskan secara tertib, profesional dan mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

Pada masa yang sama, katanya, beliau memberikan jaminan bahawa segala urusan pentadbiran negeri, pelaksanaan projek pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa.

"Keutamaan saya adalah untuk memastikan bahawa apa-apa keputusan yang diambil tidak melemahkan mandat rakyat, tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan tidak menjejaskan kestabilan negeri Melaka," katanya.

Katanya, matlamat akhir dalam pentadbiran mestilah jelas, iaitu untuk memperkukuh institusi DUN, meningkatkan mutu dasar dan perbahasan serta memberikan manfaat yang lebih baik kepada rakyat.

"Saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka kerana keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama `kita bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak'...dipersilakan.

"Maksudnya, kita tidak ada satu perjanjian rasmi yang menyebabkan kita boleh tuntut `harta sepencarian' kerana `kita bersanding tidak berpelamin'," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan