BH Online
Ringkasan Berita

'Perlis kecil, tak perlu ADUN lantikan setakat ini' - MB

KANGAR: Kerajaan Perlis setakat ini tidak bercadang mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri ini.
'Perlis kecil, tak perlu ADUN lantikan setakat ini' - MB

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah. Gambar fail

KANGAR: Kerajaan Perlis setakat ini tidak bercadang mewujudkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, berkata perkara itu perlu diperhalusi secara menyeluruh memandangkan saiz negeri yang kecil, selain memerlukan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail terlebih dulu.

Katanya, cadangan penambahan wakil rakyat menerusi kaedah lantikan itu juga perlu mendapat persetujuan wajar dan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sehingga kini, perbincangan ke arah itu (penambahan wakil rakyat lantikan) belum pernah berlaku lagi. Memandangkan Perlis hanya ada tiga kawasan Parlimen, jadi saya rasa ia terlalu kecil.

"Namun, jika ada keperluan berhubung perkara itu, mungkin kita akan fikirkan pada masa akan datang," katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Untuk rekod, antara negeri di Malaysia yang mempunyai peruntukan undang-undang bagi mewujudkan ADUN lantikan ialah Sabah, Terengganu, Pahang, Johor dan yang terbaru, Melaka.

Hari ini, DUN Melaka meluluskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan kerajaan negeri melantik sehingga tujuh ADUN lantikan merangkumi pelbagai latar belakang.

Terdahulu pada 7 Mei lalu, DUN Johor turut meluluskan RUU ADUN Lantikan yang membolehkan pelantikan tidak lebih lima individu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan ADUN negeri itu meningkat kepada 61 orang.

Sementara itu, Kerajaan Terengganu setakat ini belum membuat sebarang pelantikan ADUN lantikan walaupun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri memperuntukkan sehingga empat kuota lantikan.

Video Terkini

Berita Berkaitan