BH Online
Ringkasan Berita

Kutipan zakat fitrah Wilayah Persekutuan naik 10 peratus, cecah RM18.3 juta

KUALA LUMPUR: Kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan bagi 2026 mencatat peningkatan 10 peratus dengan kutipan mencecah RM18.3 juta, membabitkan lebih 1.5 juta pembayar zakat hasil komitmen amil fitrah serta sokongan berterusan masyarakat Islam.
Kutipan zakat fitrah Wilayah Persekutuan naik 10 peratus, cecah RM18.3 juta

Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya (tiga dari kiri) dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman (tiga dari kanan) bersama sebahagian penerima anugerah pada Majlis Apresiasi Amil Fitrah 2026, hari ini. - FOTO Ihsan PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR: Kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan bagi 2026 mencatat peningkatan 10 peratus dengan kutipan mencecah RM18.3 juta, membabitkan lebih 1.5 juta pembayar zakat hasil komitmen amil fitrah serta sokongan berterusan masyarakat Islam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 40 peratus kutipan diterima menerusi saluran pembayaran dalam talian, manakala penggunaan Kod QR Amil sebagai medium pembayaran melonjak 63 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan penerimaan masyarakat yang semakin positif terhadap transaksi zakat secara digital.

Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Apresiasi Amil Fitrah 2026 anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), yang diadakan sebagai penghargaan kepada amil fitrah atas peranan mereka memastikan kutipan zakat fitrah sepanjang Ramadan 1447H/2026 berjalan lancar, teratur dan berkesan.

Majlis yang disempurnakan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, turut dihadiri Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Yahya; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan; serta Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Ahmad Azam berkata, peranan amil fitrah kini semakin berkembang selari dengan perubahan landskap pembayaran digital dan keperluan masyarakat terhadap perkhidmatan yang lebih pantas serta mudah diakses.

"Jika dahulu kutipan banyak bergantung kepada kupon, hari ini kita menyaksikan penggunaan pembayaran melalui Kod QR semakin mendapat sambutan. Perubahan ini membuktikan bahawa para amil bukan sahaja mampu mengekalkan tradisi, malah turut bersedia mendukung transformasi digital demi memudahkan masyarakat menunaikan ibadah zakat.

"Selain menjadi pemudah cara urusan kutipan zakat, para amil kini semakin proaktif memanfaatkan pelbagai kaedah pembayaran digital bagi memastikan urusan berzakat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien," katanya.

Beliau berkata, majlis itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara PPZ-MAIWP, institusi masjid dan para amil di seluruh Wilayah Persekutuan, selain mengiktiraf dedikasi mereka sebagai barisan hadapan yang memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Pada majlis sama, PPZ-MAIWP turut menyampaikan pengiktirafan kepada 24 penerima anugerah yang mencatat prestasi cemerlang dalam kutipan zakat fitrah, meliputi kategori Ketua Penolong Amil Terbaik, Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kupon, Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kod QR serta Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kod QR Mengikut Zon.

Video Terkini

Berita Berkaitan