BH Online
Ringkasan Berita

Wan Saiful saman Tun Faisal RM10 juta kerana fitnah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan memfailkan saman terhadap Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz dan menuntut pampasan RM10 juta, berkait kenyataan fitnah isu program Jana Wibawa, tahun lalu.
Wan Saiful saman Tun Faisal RM10 juta kerana fitnah

Wan Saiful Wan Jan (kiri) dan Tun Faisal Ismail Aziz. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan memfailkan saman terhadap Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz dan menuntut pampasan RM10 juta, berkait kenyataan fitnah isu program Jana Wibawa, tahun lalu.

Wan Saiful berkata, writ saman dan penyataan tuntutan terhadap Tun Faisal difailkan peguamnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Beliau berkata Tun Faisal gagal membalas surat akhir atau mengemukakan sebarang cadangan penyelesaian berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan terhadapnya dalam satu podcast 'The Tiger Show' pada 31 Oktober 2025.

Katanya, pada 3 Disember 2025, peguamnya sudah menghantar satu surat kepada Tun Faisal susulan kenyataan fitnah yang dikeluarkan terhadapnya itu.

"Dalam surat pertama saya bertarikh 3 Disember 2025 itu, antara lainnya saya menuntut supaya Tun Faisal menarik balik, memohon maaf dan membayar ganti rugi RM10 juta atas kesalahan memfitnah saya.

"Pada 12 Januari lalu, peguam Tun Faisal membalas surat saya dan menyatakan bahawa Tun Faisal enggan memenuhi tuntutan itu dan pada 2 Mac lalu, peguam saya membalas surat itu dan meminta beliau mencadangkan bentuk penyelesaian yang mahu ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, selepas empat bulan menunggu, masih tiada balasan dari Tun Faisal dan mengarahkan peguamnya mengeluarkan satu surat akhir bertarikh 7 Julai untuk meminta cadangan penyelesaian yang substantif.

"Oleh kerana sehingga hari ini dia tidak membalas atau memberi apa-apa cadangan, saya mengarahkan peguam saya memfailkan tindakan mahkamah yang tegas di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam.

"Dalam kenyataan fitnah yang berniat jahat oleh Tun Faisal, beliau memberi implikasi bahawa saya menerima projek Jana Wibawa kerana Tan Sri Muhyiddin yang memberikan projek itu kepada saya.

"Fitnah ini bukan saja palsu dan mencemarkan nama baik saya, tetapi juga memberi implikasi bahawa Tan Sri Muhyiddin adalah seorang penyalahguna kuasa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan