BH Online
Ringkasan Berita

Berlagak seperti wanita, 14 lelaki didakwa di mahkamah hari ini

TEMERLOH: Seramai 14 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Temerloh, hari ini, atas pertuduhan berlagak seperti wanita, manakala tiga daripada mereka turut berdepan pertuduhan tambahan berpakaian tidak sopan di tempat awam.
Berlagak seperti wanita, 14 lelaki didakwa di mahkamah hari ini

Sebahagian 14 lelaki yang didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Temerloh atas pertuduhan berlagak seperti wanita hari ini. NSTP/KHIRRUL NIRWAN BAHAUDIN

TEMERLOH: Seramai 14 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Temerloh, hari ini, atas pertuduhan berlagak seperti wanita, manakala tiga daripada mereka turut berdepan pertuduhan tambahan berpakaian tidak sopan di tempat awam.

Pengakuan itu direkodkan di hadapan Hakim Norhisham Ahmad, selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013, manakala tiga daripada mereka turut didakwa mengikut Seksyen 53 enakmen sama.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 11 malam hingga 11.30 malam pada 12 Januari 2025 di Garden Dream Hall, Mentakab.

Peguam syarie yang mewakili semua tertuduh, Muhammad Syarafi Mohd Salleh, berkata semua anak guamnya membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon kes dibicarakan.

"Kami akan mendapatkan dokumen berkaitan bagi membolehkan pihak pembelaan meneliti keseluruhan kes sebelum prosiding seterusnya," katanya selepas prosiding kes itu, hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM500 hingga RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September depan tarikh sebutan semula kes.

Muhammad Syarafi berkata, tiada syarat pemantauan khas dikenakan terhadap semua tertuduh selepas mereka dibebaskan dengan jaminan kerana urusan penguatkuasaan sudah selesai dan kes itu berada di bawah kendalian pihak pendakwaan.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi tiga tertuduh yang turut didakwa mengikut Seksyen 53, mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Busu Firdaus Abu Bakar, manakala peguam Mohamed Noor Helmi Abdul Hamid turut mewakili semua tertuduh.

Video Terkini

Berita Berkaitan