PETALING JAYA: Polis akan menganalisis rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan awam dalam siasatan kes seorang pengkritik bola sepak tempatan cedera dipukul di Bandar Sri Damansara, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata pihaknya juga akan memanggil dan merakam percakapan saksi yang boleh membantu siasatan kes itu dalam usaha mengumpul bukti bagi mengenal pasti suspek terbabit.
Beliau berkata, punca sebenar serangan terhadap mangsa, Azizurrahman Zakaria atau dikenali sebagai Joe Zakaria, masih belum dapat dipastikan.
"Siasatan dilakukan polis secara menyeluruh termasuk usaha mengesan dan menganalisis rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian serta rakaman dashcam daripada kenderaan awam lain.
"Motif kejadian sedang dalam siasatan polis dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu kelancaran proses siasatan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut atau kebetulan berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku diharap tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Shamsudin dilaporkan berkata , polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam Sabtu lalu.
Siasatan awal mendapati mangsa yang mahu mengisi angin tayar didatangi dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC sebelum dipukul berkali-kali dan dirakam.
Shamsudin berkata, mangsa patah tulang mata dan beberapa kecederaan lain serta kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Rakaman kejadian yang tular itu menunjukkan Azizurrahman ditumbuk dan diterajang beberapa kali sehingga terduduk, sebelum orang awam cuba meleraikan serangan.
Beliau juga dilihat cuba meminta bantuan, manakala kedua-dua penyerang memakai topi keledar dan pelitup muka sehingga identiti mereka sukar dikenal pasti.
Rakaman asal yang dimuat naik Azizurrahman dipadamkan, namun video itu kemudiannya dikongsi semula beberapa platform media sosial.
Untuk rekod, Azizurrahman menerusi saluran YouTube Joe Zakaria (YTSK), aktif menghasilkan kandungan berkaitan jersi dan kasut bola serta berkongsi pandangan mengenai bola sepak tempatan.
Saluran berkenaan mempunyai kira-kira 10,900 pelanggan dengan lebih 150 video setakat semakan hari ini.
























