BH Online
Ringkasan Berita

Kekal had persaraan 60 tahun: Pakar saran lanjut kontrak ikut kepakaran

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengekalkan had umur persaraan penjawat awam pada 60 tahun adalah wajar buat masa ini, namun dasar itu boleh diteliti semula pada masa depan dengan mengambil kira perubahan demografi, kelestarian tenaga kerja dan pembaharuan perkhidmatan awam, kata pakar.
Kekal had persaraan 60 tahun: Pakar saran lanjut kontrak ikut kepakaran

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengekalkan had umur persaraan penjawat awam pada 60 tahun adalah wajar buat masa ini, namun dasar itu boleh diteliti semula pada masa depan dengan mengambil kira perubahan demografi, kelestarian tenaga kerja dan pembaharuan perkhidmatan awam, kata pakar.

Profesor Sumber Manusia dan Hubungan Industri, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Balakrishnan Parasuraman, berkata banyak negara maju meningkatkan usia persaraan secara berperingkat sebagai tindak balas terhadap jangka hayat yang lebih panjang dan tahap kesihatan yang lebih baik.

Katanya, sebagai contoh Singapura menetapkan usia persaraan pada 62 tahun, manakala Jepun dan Hong Kong masing-masing pada tahap 65 tahun sementara negara Barat termasuk Australia dan Sepanyol pula menetapkan usia persaraan antara 65 hingga 67 tahun.

"Memandangkan Malaysia terus melangkah ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, mungkin terdapat keperluan untuk meneliti semula dasar usia persaraan pada masa hadapan.

"Dari segi sejarah, Malaysia pernah meningkatkan usia persaraan secara berperingkat. Oleh itu, pendekatan secara beransur-ansur boleh dipertimbangkan, seperti melanjutkan usia persaraan kepada 61 atau 62 tahun sebagai langkah percubaan sebelum beralih ke arah 65 tahun, tertakluk kepada penilaian menyeluruh terhadap hasilnya," katanya kepada BH.

Minggu lalu, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan had umur persaraan penjawat awam kekal pada 60 tahun berikutan tiada keperluan untuk melaksanakan peningkatan had umur buat masa ini.

Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, Balakrishnan berkata, sebarang peningkatan usia persaraan perlu diuruskan dengan teliti bagi memastikan ia tidak menjejaskan peluang pekerjaan generasi muda.

Katanya kerajaan wajar mengekalkan pendekatan fleksibel melalui lanjutan kontrak berasaskan kepakaran dan prestasi bagi mengisi keperluan sektor kritikal.

Pendekatan itu membolehkan kerajaan mengekalkan tenaga kerja berpengalaman yang masih mampu menyumbang secara signifikan tanpa perlu menaikkan had umur persaraan secara menyeluruh.

"Lanjutan kontrak boleh diberikan berdasarkan merit, prestasi serta keperluan organisasi, khususnya kepada pegawai yang mempunyai kepakaran kritikal atau mencatat prestasi kerja cemerlang.

"Sebagai contoh, dalam sektor pengajian tinggi, mengekalkan profesor madya dan profesor yang berpengalaman boleh menyumbang kepada penghasilan penyelidikan pascasiswazah berkualiti tinggi serta memperkukuh ekonomi berasaskan pengetahuan Malaysia.

"Begitu juga, sektor-sektor kritikal seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Ekonomi, dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mungkin mendapat manfaat daripada pengekalan kakitangan berpengalaman yang memiliki kepakaran khusus.

"Dari perspektif pengurusan sumber manusia dan hubungan industri, bidang profesional tertentu di Malaysia masih dalam peringkat pembangunan dan memerlukan ahli akademik serta pengamal berpengalaman untuk menyokong pembinaan kapasiti dan pemindahan ilmu.

"Melanjutkan usia persaraan dalam bidang-bidang ini boleh meningkatkan produktiviti dan pembangunan negara. Walau bagaimanapun, kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh dan penilaian berasaskan bukti sebelum melaksanakan sebarang perubahan dasar," katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata ketetapan yang dibuat itu mampu memberi ruang kepada proses peremajaan perkhidmatan awam dan peluang kenaikan pangkat kepada pegawai yang lebih muda.

Bagaimanapun, sebahagian ahli persatuan itu berpendapat meskipun umur sudah melebihi 60 tahun, mereka masih sihat, berpengalaman dan mampu terus menyumbang sekiranya diberi peluang untuk berkhidmat lebih lama.

"Bagi sektor pendidikan khususnya, isu utama bukan sekadar had umur persaraan, tetapi memastikan sekolah sentiasa mempunyai guru yang mencukupi, berkualiti dan kompeten.

"Oleh itu, iGuru berpandangan bahawa had persaraan 60 tahun masih relevan sebagai dasar umum. Tetapi kita mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme lanjutan perkhidmatan secara bersasar.

"Terutamanya bagi guru atau pemimpin pendidikan yang mempunyai kepakaran kritikal, rekod prestasi cemerlang, tahap kesihatan yang baik serta masih diperlukan oleh sistem pendidikan.

"Mekanisme ini hendaklah dilaksanakan secara telus, berasaskan keperluan perkhidmatan dan bukannya secara automatik kepada semua penjawat awam," katanya.

Tambahnya, pendekatan itu mampu mengekalkan kepakaran yang sukar diganti, membimbing guru baharu melalui proses pementoran, serta membantu menangani kekurangan tenaga pengajar dalam bidang tertentu tanpa menjejaskan peluang kemasukan guru generasi baharu.

"Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mempercepat pengisian kekosongan jawatan guru, memperkukuh latihan profesional, meningkatkan kebajikan warga pendidik dan memastikan perancangan tenaga kerja pendidikan dibuat secara lebih strategik untuk jangka panjang," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan