KUALA LUMPUR: Pekerja yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini boleh memilih untuk tidak menyertai Skim kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) menerusi opsyen dikecualikan (opt-out) yang disediakan secara dalam talian.
Keputusan untuk menarik diri daripada skim itu bermakna pekerja tidak lagi perlu mencarum sekurang-kurangnya RM45 sebulan (0.75 peratus daripada gaji) dan mereka juga akan kehilangan perlindungan 24 jam yang ditawarkan skim berkenaan.
Jun lalu, skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan PERKESO bertujuan memberi perlindungan kepada pekerja sepanjang tempoh bekerja termasuk kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan tugasan rasmi.
Sebelum ini, perlindungan PERKESO hanya meliputi kemalangan yang berlaku ketika bekerja atau dalam perjalanan ke dan dari tempat kerja.
Namun, di dalam skim LINDUNG 24 Jam ini, beberapa faedah ditawarkan antaranya:
- Rawatan perubatan.
- Faedah hilang upaya sementara.
- Faedah hilang upaya kekal.
- Faedah orang tanggungan.
- Elaun layanan sentiasa.
- Faedah pengurusan mayat.
- Pemulihan fizikal dan vokasional.
- Sokongan Program Return To Work (RTW).
- Faedah pendidikan.
Sebagai contoh, pekerja yang mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika bercuti atau terbabit dalam kemalangan jalan raya di luar waktu bekerja masih boleh membuat tuntutan di bawah skim ini jika memenuhi syarat ditetapkan.
Dalam tempoh sebulan pelaksanaannya, PERKESO meluluskan purata 27 tuntutan sehari dengan hampir RM2 juta faedah dibayar kepada pencarum yang layak.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding purata 13 tuntutan sehari yang sebelum ini tidak dapat dipenuhi kerana kemalangan berlaku di luar waktu bekerja dan tidak dilindungi di bawah skim terdahulu.
Bagaimanapun, kadar caruman bermula 0.75 peratus gaji bulanan dijadual meningkat secara berperingkat kepada satu peratus dan 1.25 peratus dalam tempoh enam tahun akan datang.
Namun pada 8 Julai lalu, kerajaan mengumumkan penyertaan dalam LINDUNG 24 Jam adalah secara sukarela selepas skim itu diperkenalkan sebulan sebelum itu.
Ini menjelaskan, pekerja boleh memilih untuk tidak lagi membayar caruman bagi skim berkenaan dalam masa yang sama tidak lagi layak menikmati perlindungan terhadap kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, termasuk manfaat yang disediakan di bawah skim berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata kadar caruman 0.75 peratus adalah antara yang terendah di dunia bagi skim perlindungan sosial yang menawarkan perlindungan menyeluruh terhadap kemalangan di luar waktu bekerja.
Katanya, kadar itu ditetapkan selepas membuat penanda aras dengan institusi keselamatan sosial daripada hampir 164 negara yang menganggotai Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
Sekiranya ramai pencarum memilih untuk menarik diri, ia boleh memberi kesan terhadap kemampanan dana serta pembayaran faedah pada masa depan.
Cara 'opt-out'
Menerusi pilihan 'opt-out' pekerja hanya perlu:
- Melayari portal LINDUNG 24 Jam.
- Mendaftar akaun atau log masuk.
- Memilih pilihan "Saya Memilih Untuk Tidak Menyertai Skim LINDUNG 24 Jam."
- Menekan butang Hantar.
- Mengesahkan pilihan dengan menekan "Sahkan, Saya Tidak Mahu Menyertai."
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau emel perkeso@perkeso.gov.my.
























