BH Online
Ringkasan Berita

'Menulis diari, buat barcode di tangan cara Zara Qairina atasi tekanan emosi' - Pakar psikologi

KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir mempunyai cara tersendiri untuk mengurus emosinya, kata pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli.
'Menulis diari, buat barcode di tangan  cara Zara Qairina atasi tekanan emosi' - Pakar psikologi

Pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli. Gambar fail

KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir mempunyai cara tersendiri untuk mengurus emosinya, kata pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner hari ini, Dr Noor Aishah, 51, berkata tekanan boleh menjadi memudaratkan apabila seseorang individu tidak mempunyai kaedah untuk menanganinya.

"Tekanan negatif berlaku apabila seseorang individu tidak mempunyai penyelesaian untuk mengatasi tekanan itu. Disebabkan tiada penyelesaian, kebimbangan akan berlaku.

"Jika seseorang mempunyai cara untuk mengatasi tekanan, maka tekanan itu adalah positif dan tidak boleh dikategorikan sebagai kebimbangan," katanya.

Saksi ke-76 itu berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-80 prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, Noor Aishah berkata, antara punca tekanan dialami Zara adalah berkaitan interaksinya dengan rakan.

"Salah satu faktor tekanan ialah bagaimana seorang rakan melayan rakan lain. Dia (Zara Qairina) mungkin mula membuat tanda 'barcode' sebagai mekanisme mengatasi tekanan itu," katanya.

Ketika ditanya sama ada tekanan Zara Qairina boleh dianggap sebagai tekanan positif kerana beliau mempunyai cara untuk menanganinya, Noor Aishah menjawab: 'Betul.'

Beliau turut bersetuju antara mekanisme mengatasi tekanan dilakukan Zara Qairina ialah dengan menulis diari.

Ketika Shahlan mencadangkan tekanan boleh berkembang menjadi kebimbangan sekiranya seseorang tidak mempunyai mekanisme mengatasinya, Noor Aishah bersetuju sambil menjelaskan bahawa memendam emosi bukan penyelesaian yang sihat.

"Dalam keadaan itu, seseorang akan memendam perasaan dan berlaku dialog dalaman dalam diri.

"Pendekatan terbaik ialah menyelesaikan masalah itu. Memendam perasaan boleh berkembang menjadi kebimbangan dan kemurungan," katanya.

Sementara itu, Noor Aishah turut menolak keterangan pakar perunding forensik psikiatri, Dr Chua Sze Hung, yang menyatakan tingkah laku menyembunyikan keadaan sebenar (masking), menyesuaikan diri secara berlebihan dan memendam perasaan adalah perkara yang sangat biasa dalam kalangan remaja yang mengalami tekanan psikologi.

Dr Chua sebelum ini turut menyatakan tanda berkenaan memang sukar dikesan walaupun oleh ibu bapa.

"Pada pandangan saya, remaja biasanya tidak melakukan masking. Masking bukan tingkah laku biasa dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, individu berfungsi tinggi yang mengalami autisme mungkin melakukan masking.

Prosiding inkues bersambung petang ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan