KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) komited memperkukuh pembangunan bakat dalam ekosistem pendidikan Islam melalui penerapan kemahiran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) masa hadapan.
Ia selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan komuniti itu tidak tercicir daripada arus transformasi digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata justeru satu Digital Maker Hub diserahkan kepada Pondok Darul Furqan, Tambun sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (Digital IPI) yang dilaksanakan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Penyerahan itu secara tidak langsung memperluaskan akses pelajar dan guru institusi pendidikan Islam kepada kemahiran digital dan teknologi masa hadapan.
"Digital Maker Hub ini akan berfungsi sebagai ruang pembelajaran interaktif yang membolehkan guru dan pelajar mempelajari, mencuba dan mengaplikasikan teknologi secara praktikal.
"Ia dilengkapi dengan komputer riba, sambungan internet, papan pintar interaktif, kit robotik, kit mikropengawal serta pelbagai peralatan sokongan yang dapat membuka peluangkepada mereka untuk mengembangkan kreativiti, membina keyakinan dan menguasai kemahiran masa hadapan yang relevan dengan keperluan dunia digital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelajari Metaverse
Terdahulu, seramai 30 pelajar dan lima guru dari Pondok Darul Furqan menyertai Program MetaSkool Metaverse yang berlangsung selama dua hari, bagi memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknologi metaverse melalui pendekatan praktikal dan interaktif, sekali gus menggalakkan kreativiti, pembelajaran berasaskan pengalaman serta penerokaan idea baharu.
Selain Pondok Darul Furqan, Perak, lima lagi institusi pendidikan Islam rintis yang tersenarai dalam inisiatif ini ialah Maahad Tarbiah Islamiah, Kedah; Pusat Pengajian Pondok Kampung Telong, Kelantan; Institut Ahmad Ibni Idris (SAIFI), Negeri Sembilan; Ribath Al-Musthofa, Pahang dan Maahad Ihya Ulumiddin, Pulau Pinang.
Anuar Fadzil berkata, perjalanan negara ke arah Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030 memerlukan pembangunan bakat yang menyeluruh supaya tiada yang ketinggalan daripada peluang untuk menguasai dan memanfaatkan kemahiran digital serta teknologi masa hadapan, termasuk warga institusi pendidikan Islam.
"Melalui Digital IPI dan penyediaan Digital Maker Hub, MDEC mahu memastikan guru serta pelajar institusi pendidikan Islam turut diberi ruang untuk lebih celik teknologi dan mampu menjadi pencipta dan inovator yang menyumbang kepada ekonomi digital negara, selaras dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030.
"Melalui Program Digital IPI, MDEC komited untuk melaksanakan inisiatif itu melalui penerapan teknologi dan AI yang berlandaskan nilai amanah, integriti serta adab.
"Usaha ini mencerminkan komitmen bersama untuk mengintegrasikan pendidikan agama dan teknologi secara holistik, sekali gus memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh lapisan masyarakat," katanya.
























