KUALA TERENGGANU: PERHILITAN Terengganu terus melakukan pemantauan berhubung kehadiran seekor harimau kumbang di jalan utama Pengkalan Gawi.
Sehubungan itu, pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata orang ramai dan penduduk yang melalui jalan itu tidak perlu panik.
Menurutnya, pihaknya sudah mengambil langkah sewajarnya dengan memasang perangkap harimau dan membuat pemantauan berkala di lokasi.
"Sekiranya terlihat kelibat harimau itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi PERHILITAN dan jangan ambil tindakan sendiri," katanya.
Katanya, kedudukan lokasi yang agak berhampiran Hutan Simpan Hulu Telemong dan hutan simpan Hulu Terengganu Tambahan memudahkan pergerakan haiwan itu keluar masuk ke kawasan berhampiran.
Sementara itu, penduduk kawasan itu Muhammad Amirul Hakim Othman, 30, berkata lokasi harimau kumbang ditemui agak dekat dengan hutan simpan.
"Berkemungkinan secara kebetulan sahaja harimau kumbang itu keluar hutan sebelum kembali ke habitat asalnya.
"Hanya dua kali haiwan itu terserempak dengan orang awam dalam tempoh hampir dua minggu," katanya.
























