BH Online
Ringkasan Berita

Filem Netflix lakonan Mark Wahlberg tingkat profil global P Pinang

GEORGETOWN: Penerbitan filem utama Netflix yang dibintangi pelakon Hollywood, Mark Wahlberg dijangka meningkatkan profil Pulau Pinang di peringkat antarabangsa, selain membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri itu.
Filem Netflix lakonan Mark Wahlberg tingkat profil global P Pinang

Pelakon Hollywood, Mark Wahlberg yang berada di Pulau Pinang untuk penggambaran filem Netflix - The Big Fix dijangka meningkatkan profil negeri itu di peringkat antarabangsa, selain membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri itu

GEORGETOWN: Penerbitan filem utama Netflix yang dibintangi pelakon Hollywood, Mark Wahlberg dijangka meningkatkan profil Pulau Pinang di peringkat antarabangsa, selain membuka peluang baharu kepada sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri itu.

Penggambaran filem The Big Fix selama dua minggu di beberapa lokasi di Pulau Pinang menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha negeri itu memantapkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi penerbitan filem dan televisyen antarabangsa, dengan beberapa tapak warisan serta mercu tanda ikonik dijadikan latar belakang filem Hollywood berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata penerbitan bertaraf antarabangsa seperti itu memberikan pendedahan yang amat bernilai kepada negeri berkenaan menerusi antara platform penstriman terbesar dunia.

"Ini adalah satu lagi pencapaian penting bagi sektor pelancongan dan ekonomi kreatif Pulau Pinang.

"Penerbitan sebesar ini memberikan pendedahan antarabangsa yang amat bernilai kepada Pulau Pinang menerusi salah satu platform penstriman terbesar dunia," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan produksi di Stadium Bandaraya Pulau Pinang semalam.

Ahad lalu, NST melaporkan Wahlberg berada di Pulau Pinang bagi menjalani penggambaran di beberapa lokasi di negeri itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran, berkata penggambaran bermula Jumaat lalu dan dijangka berlangsung selama kira-kira dua minggu.

Wong kemudian melawat set penggambaran di Stadium Bandaraya, yang menjadi antara lokasi bagi filem bertemakan bola sepak itu.

Turut hadir ialah penerbit The Big Fix, Bennett Walsh; penerbit Biscuit Films, Bill Donovan; Pengurus Lokasi Malaysia, Guy Sahibjahn; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan; serta wakil MBPP.

Sepanjang tiga hari lalu, penggambaran dijalankan di Jawi Peranakan Mansion, Cheong Fatt Tze Mansion atau Blue Mansion, Lorong Ikan di Georgetown dan Stadium Bandaraya Pulau Pinang, dengan beberapa lagi lokasi di seluruh negeri dijadualkan sepanjang minggu ini.

Penerbitan filem itu disokong menerusi program Film in Malaysia Incentive (FIMI) serta mendapat sokongan EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) dan MBPP.

Identiti masyarakat berbilang kaum

Wong berkata, penerbitan antarabangsa mampu mewujudkan peluang perniagaan kepada hotel, pengusaha pengangkutan, perusahaan tempatan serta industri kreatif, selain mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan filem dengan mempromosikan warisan, identiti masyarakat berbilang kaum dan landskap bandar yang unik kepada penonton di seluruh dunia.

"Penerbitan antarabangsa bukan sahaja mewujudkan peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, hotel, penyedia pengangkutan dan industri kreatif, malah mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan filem dengan memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk mengunjungi lokasi yang mereka lihat di layar," katanya.

Beliau berkata, The Big Fix menyusuli satu lagi produksi berprofil tinggi Sandiwara, yang dibintangi pemenang Anugerah Akademi, Michelle Yeoh, yang turut menjalani penggambaran di Pulau Pinang awal tahun ini.

Menurutnya, kedua-dua produksi itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan penerbit antarabangsa terhadap ekosistem penggambaran di Pulau Pinang, selain membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif.

"Kerajaan Pulau Pinang menerusi PETACE, dengan kerjasama Penang Global Tourism serta rakan industri, akan terus menarik lebih banyak produksi antarabangsa yang mampu menjana nilai ekonomi, membangunkan bakat kreatif tempatan dan mempromosikan Pulau Pinang ke persada dunia.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pasukan produksi kerana memilih Pulau Pinang dan berharap dapat mengalu-alukan lebih banyak lagi penerbitan antarabangsa ke Pulau Mutiara," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan