BH Online
Ringkasan Berita

Anggota MALBATT di Lubnan dipastikan selamat - Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR: Keselamatan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) kekal terjamin meskipun situasi keselamatan di selatan negara itu terus dipantau rapi susulan beberapa serangan baru-baru ini.
Anggota MALBATT di Lubnan dipastikan selamat - Kementerian Pertahanan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keselamatan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) kekal terjamin meskipun situasi keselamatan di selatan negara itu terus dipantau rapi susulan beberapa serangan baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata dua anggota MALBATT yang cedera ringan akibat serpihan kaca selepas satu serangan udara berlaku berhampiran konvoi logistik UNIFIL pada 11 Jun lalu sudah menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

"Tiada kemudahan atau aset utama MALBATT mengalami kerosakan serius dan tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kalangan anggota MALBATT 850-13.

"Anggota lain yang bertugas di bawah misi UNIFIL juga berada dalam keadaan selamat dan terus melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai situasi keselamatan anggota MALBATT 850-13 susulan insiden yang mengorbankan tiga anggota pengaman Indonesia akibat serangan di pos keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mohamed Khaled berkata, MALBATT 850-13 sentiasa meningkatkan langkah berjaga-jaga termasuk melalui pemantauan keselamatan secara berterusan, pengukuhan perlindungan pasukan, kawalan keselamatan kem, kawalan pergerakan konvoi serta kesiapsiagaan pelan kontingensi.

Katanya, Markas Angkatan Bersama turut berhubung rapat dengan pihak UNIFIL, Markas Sektor Barat serta pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini, melaksanakan penilaian risiko secara berterusan dan menyelaras tindakan yang perlu.

Beliau berkata, sebarang perubahan terhadap penugasan, pengunduran pasukan atau penambahan aset tertakluk kepada mandat serta mekanisme yang ditetapkan PBB dan tidak boleh diputuskan secara unilateral oleh mana-mana negara penyumbang pasukan.

"Kerajaan memberi jaminan keselamatan dan kebajikan anggota MALBATT sentiasa menjadi keutamaan, selain akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan mereka dapat melaksanakan misi pengaman PBB di Lubnan dengan selamat dan berkesan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan