KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah merangka pelan kontingensi bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan global, perubahan iklim serta konflik geopolitik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pelan itu dilaksanakan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) bagi memperkukuh daya tahan sistem agromakanan negara menghadapi sebarang krisis luar jangka.
"Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan paras air empangan secara berkala, Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan kritikal, penggunaan telaga tiub bagi sektor tanaman serta penanaman padi secara tabur kering bagi menjimatkan penggunaan air ketika fenomena El Nino.
"Kerajaan turut melaksanakan pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas baja pertanian terpilih bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada RM300 sehektar serta mengekalkan subsidi diesel nelayan pada kadar RM1.65 seliter bagi menjamin kapasiti pengeluaran agromakanan tempatan.
"Selain itu, penggunaan varieti padi rintang kemarau seperti MR380, MR381 dan MR382 diperluaskan, selain menggalakkan amalan pengurusan air di ladang melalui kaedah Alternate Wetting and Drying (AWD) serta System of Rice Intensification (SRI)," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai pelan kontingensi kerajaan bagi menghadapi gangguan rantaian bekalan global, perubahan iklim, konflik geopolitik serta krisis makanan antarabangsa.
Mohamad berkata, kerajaan turut menyasarkan penanaman jagung bijian secara berskala besar menjelang 2040 dengan sasaran pengeluaran 1.25 juta tan metrik atau 30 peratus daripada keperluan domestik bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Beliau berkata, bagi memperkukuh aspek perundangan, kementerian sedang menggubal Rang Undang-Undang Baja dan Rang Undang-Undang Keterjaminan Makanan Negara.
"Antara cadangan utama ialah penubuhan stok penimbal baja serta kawalan kerajaan terhadap bekalan baja dalam negara bagi menghadapi gangguan rantaian bekalan akibat krisis geopolitik, bencana alam, pandemik atau ketidaktentuan pasaran," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata kerjasama Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang pertanian moden ketika ini tertumpu kepada penyelidikan, teknologi dan inovasi menerusi kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Katanya, kerjasama itu dilaksanakan melalui program pembangunan kapasiti seperti Borlaug Fellowship Program dan USDA Foreign Agricultural Service Scientific Exchanges Program yang memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi, peningkatan kompetensi saintifik serta pengukuhan jaringan penyelidikan antarabangsa.
Beliau berkata, AS melalui US-ASEAN Business Council turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memperkukuh ekosistem keterjaminan makanan, pembangunan pertanian mampan, pertanian regeneratif, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta pelaburan agromakanan.
























