KUALA LUMPUR: Seramai 219,472 individu berdaftar dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.
Ini membabitkan 66,493 pemohon suaka dan 152,979 pelarian dari kira-kira 60 negara termasuk Myanmar, Syria, Pakistan, Yaman dan Afghanistan sehingga April lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagaimanapun data yang dikongsikan UNHCR itu mungkin tidak menggambarkan jumlah sebenar.
Ini kerana proses penentuan status pelarian dan pemohon suaka dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat UNHCR di Kuala Lumpur tanpa pembabitan mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerajaan.
"Justeru kerajaan akan terus memperkukuh pengurusan pelarian menerusi pelbagai operasi bersepadu dengan kerjasama agensi keselamatan, penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras ketidakpatuhan migran asing di negara ini.
"Kerajaan menetapkan tiga pendekatan utama bagi menangani isu lambakan pemegang kad UNHCR iaitu penghantaran pulang pelarian secara sukarela ke negara asal (repatriasi).
"Kedua, penempatan semula ke negara ketiga (resettlement) dan seterusnya pengusiran terhadap mereka yang gagal mematuhi syarat, peraturan serta undang-undang Malaysia," katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah pemegang kad UNHCR serta kes penipuan kad berkenaan dan soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkaitan langkah kerajaan mengurus isu pelarian UNHCR di negara ini.
Ahmad Zahid berkata, Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) menetapkan Malaysia membangunkan mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka sendiri tanpa bergantung kepada entiti asing.
Katanya, mekanisme itu memberi penekanan kepada pengurusan dan penguatkuasaan yang lebih cekap, penyelarasan dasar berkaitan akses kepada kebajikan dan sosial, selain menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.
"Ia termasuk penggunaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), pemberian akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebenaran bekerja kepada pelarian yang layak.
"Sistem ini akan digunakan untuk mengurus serta memantau pelarian dan pemohon suaka di Malaysia sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga. Ketika ini, repatriasi dilihat sebagai pilihan yang paling sesuai," katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan ASEAN dan UNHCR melalui pendekatan lebih strategik dan komprehensif, termasuk memperkasa mekanisme perkongsian tanggungjawab dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Malaysia juga memperluaskan kerjasama dengan pertubuhan antarabangsa berkaitan migrasi dan kemanusiaan serta menggalakkan penyelesaian politik yang membolehkan kepulangan pelarian Rohingya secara sukarela, selamat dan bermaruah.
Mengenai kes penipuan kad UNHCR sejak 2023, Ahmad Zahid berkata beberapa sindiket berjaya ditumpaskan hasil tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
Beliau berkata, enam warga Myanmar dihadapkan ke mahkamah pada 27 Disember 2024 atas kesalahan pemalsuan dokumen selepas disiasat mengikut Seksyen 420 dan didakwa di bawah Seksyen 463 Kanun Keseksaan.
Selain itu, katanya, sindiket memalsukan kad UNHCR yang menyasarkan etnik Arakan dari Myanmar berjaya ditumpaskan dalam serbuan Jabatan Imigresen di Kluang, Johor pada Jun 2024, manakala satu lagi sindiket yang aktif sejak dua tahun sebelum itu dibongkar PDRM di Pulau Pinang pada Februari 2024.
"Sebanyak 16 serbuan dijalankan dan lebih 700 keping kad UNHCR dipercayai dijual dalam tempoh setahun, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.
























