SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bagi meninjau keadaan pengangkutan awam terbaru itu, hari ini.
Baginda menaiki tren dari Stesen Bandar Utama hingga ke Stesen Johan Setia dengan diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di Stesen Bandar Utama disambut oleh pihak pengurusan tertinggi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Amir Hamdan.
Perjalanan bermula jam 10.40 pagi dan tiba di stesen terakhir pada jam 11.40 pagi membabitkan tempoh satu jam merentasi empat daerah iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.
Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah yang berada di koc paling hadapan berkenan meninjau perjalanan melalui 20 stesen itu.
Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor menunggu projek LRT3 Laluan Shah Alam siap dan boleh digunakan.
"Alangkah baiknya jika laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana beta berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.
"Beta turut teruja menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh yang akan dibina semula, iaitu Stesen LRT3 Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik, yang bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk Melayu di kawasan berhampiran," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) serta semua pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3.
Baginda disembah maklum bahawa sepanjang pelaksanaan projek LRT3, lebih 13,000 individu menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan Laluan Shah Alam.
Baginda sekali gus berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas peranan setiap individu terbabit.
"Walaupun stesen, landasan dan tren adalah hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya.
"Beta berharap warga kerja Prasarana dapat sentiasa memastikan kelancaran operasi LRT3 Laluan Shah Alam dan meminimumkan sebarang gangguan," titah baginda.
Baginda juga berpesan kepada rakyat agar memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan itu yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti yang moden, lestari dan berkualiti untuk masa depan.
Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer dan mengumumkan perkhidmatan percuma selama sebulan kepada orang ramai.
























