KOTA KINABALU: Malaysia berpotensi menjadi negara kedua di rantau ASEAN dan negara ke-60 peringkat antarabangsa yang mempunyai undang-undang khusus berkaitan perubahan iklim jika Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dibentangkan dan diluluskan di Parlimen tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya kini sedang giat memuktamadkan RUU terbabit sebagai sebahagian agenda utama pelaksanaan dasar iklim negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembentangan RUU itu di Dewan Rakyat akan menjadi satu pencapaian penting dalam memperkukuh komitmen Malaysia terhadap agenda kelestarian dan tindakan iklim global.
"Dalam masa terdekat, kami akan berusaha membentangkan RUU Perubahan Iklim Negara.
"Kami berharap RUU ini dapat dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada tahun ini supaya Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai undang-undang perubahan iklimnya sendiri.
"Sekiranya usaha ini berjaya direalisasikan, Malaysia akan menjadi negara kedua di rantau ASEAN dan negara ke-60 di peringkat global yang mempunyai undang-undang khusus berkaitan perubahan iklim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Sidang Kemuncak Pelaburan Berimpak Asia-Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah 2026 (Sabah AIMS 2026) bertempat di The Magellan Sutera, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Arthur turut berkata tahun ini adalah tahun pelaksanaan bagi kementeriannya selepas pelbagai perancangan dasar dirangka sebelum ini.
Menurutnya, antara pencapaian penting yang telah direkodkan ialah pelancaran Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan pada April lalu yang menyediakan kerangka kerja bagi pelaksanaan pasaran karbon negara pada masa depan.
Beliau berkata, pelaksanaan RUU Perubahan Iklim Negara juga akan membuka laluan kepada pelaksanaan cukai karbon, yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan (MOF)
Bagaimanapun, katanya cukai karbon tidak seharusnya dilihat sebagai hukuman kepada industri, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penggunaan teknologi hijau dan operasi yang lebih mesra alam.
"Kita mahu memastikan sekiranya cukai karbon ini dipungut, ia bukanlah sebagai satu bentuk hukuman kepada industri.
"Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai insentif untuk mendorong mereka beralih kepada kaedah operasi yang lebih mesra alam serta penggunaan teknologi hijau," katanya.
Mengulas mengenai manfaat pasaran karbon kepada komuniti setempat, Arthur berkata kerajaan mahu memastikan hasil yang dijana daripada kredit karbon dapat dikembalikan kepada masyarakat asal yang menjadi penjaga utama kawasan hutan.
Disamping itu, Arthur turut menjelaskan antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah menyalurkan hasil kredit karbon ke dalam Dana Adaptasi Negara untuk membiayai projek berkaitan iklim seperti pemeliharaan, pemuliharaan dan penanaman semula hutan.
"Kita mahu memastikan keuntungan daripada kredit karbon ini dipulangkan semula kepada masyarakat asal supaya mereka dapat terus memelihara hutan dan pada masa sama menikmati manfaat.
























