BH Online
Ringkasan Berita

Ahmad Zahid taja umrah pakai duit sendiri jika peserta WSC menang emas

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini memberi jaminan akan menaja ibadah umrah bagi kesemua sembilan peserta yang bertanding pada WorldSkills Competition (WSC) di Shanghai, China, sekiranya mereka memenangi pingat emas.
Ahmad Zahid taja umrah pakai duit sendiri jika peserta WSC menang emas

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada pemberita pada Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW Ke Worldskills Shanghai 2026. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini memberi jaminan akan menaja ibadah umrah bagi kesemua sembilan peserta yang bertanding pada WorldSkills Competition (WSC) di Shanghai, China, sekiranya mereka memenangi pingat emas.

Zahid berkata, selain peserta, kedua-dua ibu bapa peserta di bawah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu juga akan dibawa ke Makkah sekiranya berjaya memperoleh kejayaan sedemikian.

Katanya, kesemua mereka akan dibawa menggunakan peruntukan peribadi, bukannya daripada KKDW atau agensinya.

"Ini saya janji ya. Di mata saya (semuanya) adalah pemenang (tetapi), jika mendapat pingat emas di WorldSkills, saya akan bawa pergi umrah, sembilan-sembilan anda saya bawa pergi umrah.

"Malah, saya juga akan bawa ibu bapa masing-masing pergi umrah dan untuk makluman, ia tidak akan guna KKDW, bukan duit MARA, atau duit yang kita ambil daripada peruntukan kerajaan.

"Insya-Allah, duit yang halal, tak ada rasuah. Walaupun ada pertuduhan 47, InsyaAllah saya cari duit untuk bawa anda pergi umrah. Kalau sembilan orang, ertinya 27 orang akan pergi umrah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Competition.

WorldSkills Competition (WSC) adalah pertandingan kemahiran tertinggi peringkat antarabangsa yang menghimpunkan belia berkemahiran dari seluruh dunia untuk bersaing mengikut standard industri global.

Malaysia menjadi ahli WorldSkills International pada tahun 1992 dan mula menyertai WorldSkills Competition pada tahun 1993 dan sehingga kini, berjaya merangkul empat pingat gangsa di WSC SĂ£o Paulo 2015, WSC Abu Dhabi 2017 dan WSC Lyon 2024.

Pada WorldSkills Shanghai 2026, penyertaan peserta Malaysia adalah seramai 22 orang, dengan sembilan orang peserta ialah Nadratulliyana Ab Malek (Fashion Technology), Haziq Syahmi Nazri (Car Painting), Amirul Sharif Sharifudin (Electronics) dan Mohammad Ezaly Iman Ramli (Cyber Security).

Selain itu, Wan Hamiz Ozai Wan Hamidzi (Rail Vehicle Technology), Khairul Idham Bahari (Cabinet Making), Muhamad Nashrul Zulkifli (Digital Construction), Muhammad Haziq Lailla Zamri (Electric Installations) dan Muhammad Huzairy Mohamad Thes (Mechanical Engineering).

Video Terkini

Berita Berkaitan