BH Online
Ringkasan Berita

'PAS punca PN kalah teruk PRN Johor'

KUALA LUMPUR: Kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, kelmarin, didakwa berpunca daripada percaturan politik dan pengkhianatan PAS, khususnya dalam tindakan terhadap BERSATU.
'PAS punca PN kalah teruk PRN Johor'

FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, kelmarin, didakwa berpunca daripada percaturan politik dan pengkhianatan PAS, khususnya dalam tindakan terhadap BERSATU.

PN bukan saja tewas di kesemua 33 kerusi ditandinginya pada PRN itu, termasuk gagal mempertahankan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang, malah gabungan berkenaan juga mencatat bilangan calon paling ramai kehilangan deposit membabitkan seramai 21 orang.

Sumber dalaman BERSATU memberitahu BH, tindakan PAS memutuskan hubungan politik dengan parti itu menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan adalah titik tolak terbesar.

Beliau mendakwa bahawa keputusan itu bukan saja menjejaskan nama baik PN, malah menggoyahkan keyakinan pengundi berikutan timbul persepsi negatif rakyat terhadap gabungan berkenaan sehingga mempengaruhi pola pengundian.

"PAS melakukan pelbagai strategi yang dilihat aneh dan seperti sengaja melambat-lambatkan mesyuarat persiapan PRN Johor, rundingan kerusi serta jawatankuasa 'electoral pact' (kerjasama pilihan raya), sekali gus menjejaskan persiapan PN menghadapi pilihan raya itu.

"PAS juga membuat kenyataan tidak membantu BERSATU. Mereka mahu menang PRN tetapi dengan cara menunjukkan kepada rakyat bahawa PN ada dua pasukan berbeza," katanya.

Malah, sumber itu mendakwa PAS turut mengadakan rundingan sulit dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) secara membelakangkan PN dan parti komponen lain dalam gabungan berkenaan, namun kemudian kembali 'bertenggek' pada PN selepas rundingan terbabit gagal.

"Ini menunjukkan PAS tiada kesetiaan terhadap PN dan khianat," dakwanya lagi.

Sumber berkenaan mendakwa strategi PAS yang dilihat masuk bertanding PRN Johor 'untuk kalah dan memberi kemenangan kepada BN', turut menimbulkan persoalan besar mengenai niat sebenar parti itu.

"Kalau itu niatnya, sepatutnya PAS tidak perlu bertanding... beri saja kemenangan mudah kepada BN.

"Pada masa sama, ada pula tindakan penyokong Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang berterusan mensabotaj PN dan calon-calon PN dengan meletak jawatan, selain mengeluarkan kenyataan menyokong Pakatan Harapan (PH) beberapa hari sebelum hari pengundian... ia juga merosakkan persepsi terhadap PN.

"Kenapa PAS patut dipersalahkan selain Parti Wawasan Negara... kerana PAS adalah parti yang menyokong dan bersekongkol dengan mereka," dakwanya lagi.

Keputusan penuh PRN Johor, kelmarin, menyaksikan BN mencatat kemenangan besar dengan membolot 48 kerusi DUN, manakala baki lapan kerusi lagi dimenangi PH.

Pencabar lain membabitkan PN, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan enam calon BEBAS gagal memenangi sebarang kerusi ditandingi.

Malah, BN berjaya merampas lapan kerusi milik penyandang parti lain, iaitu PH membabitkan DUN Johor Jaya, Perling, Bukit Batu, Jementah dan Tangkak, serta PN (Bukit Kepong, Endau dan Maharani).

Video Terkini

Berita Berkaitan